Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
AFC B16: Harimau Malaya mampu beri tentangan pada Jepun
Diterbitkan:  Aug 11, 2019 9:07 AM
Dikemaskini: 1:07 AM

Pasukan Malaysia yang baru sahaja menjuarai Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) B-15 2019 dua hari lalu yakin mampu memberi cabaran kepada Jepun dan mara daripada peringkat kumpulan dalam kempen kelayakan untuk Kejohanan AFC B-16 2020 di Laos dari 18 hingga 22 September ini.

Penyerang B-15 negara, Mohamad Khairil Mohd Zain berkata keyakinan itu berdasarkan prestasi semasa pasukannya yang cemerlang serta semangat berpasukan yang tinggi.

"InsyaAllah boleh tewaskan Jepun, kebanyakan (pemain) pasukan kami ini semua ada inspirasi nak lawan, komitmen, percakapan semua ada dalam team ini.

"Jepun adalah (pasukan) gergasi Asia dan kami percaya dengan team yang ada, insyaAllah kami boleh 'makan' Jepun," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang malam tadi selepas pasukan itu pulang dari kejohanan AFF B-15 2019.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama Jepun, Kemboja dan Laos yang merupakan pasukan tuan rumah bagi kempen kelayakan peringkat kumpulan itu.

Sementara itu, pemain pertahanan Muhammad Daniel Edzuan Mohd Anuar yang senada dengan Mohamad Khairil berkata pasukannya bagaimanapun tidak boleh mengambil mudah pasukan Jepun.

"Kalau tengok perlawanan menentang Kemboja itu, atas kertas kami boleh 'makan' tetapi kami tidak boleh ambil mudah dengan Jepun dan perlu fokus, yakin serta beri 200 peratus komitmen dalam pasukan," katanya.

Dalam pada itu, pengendali skuad B-15 negara, P Maniam yang turut berasa yakin dengan kemampuan anak buahnya membenam Jepun, bagaimanapun melihat Laos juga bakal memberi saingan hebat kepada pasukannya di kejohanan akan datang itu.

"Memang kita nampak boleh menang dengan Kemboja, tetapi Laos ini susah sikit sebab saya rasa mereka bermain dengan lebih bertahan, bukan senang, tetapi dengan pemain-pemain ini saya rasa kita berkeyakinan bahawa kita boleh melakukan yang terbaik dengan Jepun.

"Keyakinan pemain begitu baik, tetapi kita harus membuat persiapan lebih baik daripada yang sebelum ini kerana akan membantu pemain bermain dengan lebih yakin dan teratur," katanya.

Skuad B-15 negara disambut meriah di KLIA malam tadi setelah bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengalahkan juara tiga kali Thailand, 2-1 di Stadium IPE Chonburi, Thailand dalam aksi final, sekali gus menjadi juara AFF B-15 2019.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subahan Kamal dan Setiausaha Agungnya Stuart Ramalingam turut bersama meraikan skuad B-15 negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS