Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Skuad B-18 negara teruskan rentak kemenangan

Skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara meneruskan rentak kemenangan, dalam Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-18 2019, apabila meraih tiga mata penuh dengan membenam Kemboja 3-0, pada aksi kedua Kumpulan B di Vietnam, hari ini.

Kejayaan itu merupakan kemenangan kedua dicatat anak buah pengendali sementara, Brad Maloney setelah menewaskan jiran terdekat Singapura 3-1, Jumaat lepas, untuk mengumpul enam mata selepas mengharungi tiga perlawanan.

Terdahulu, Malaysia yang merupakan juara bertahan, memulakan kempen kejohanan dengan langkah kiri apabila tewas tipis 0-1 di tangan skuad tuan rumah, Vietnam, Rabu lalu.

Pada aksi hari ini di Stadium Thanh Long, keputusan Maloney yang melakukan perubahan besar di dalam kesebelasan utama pasukan negara ternyata membuah hasil, dengan ketiga-tiga gol hadir pada separuh masa pertama.

Ketua pasukan, Muhammad Mukhairi Ajmal memecah kebuntuan pada minit ke-18 menerusi rembatan memukau dari luar kotak penalti, sebelum penyerang Muhd Muslihuddin Atiq meledak gol kedua selepas memperdayakan penjaga gol, Vireak Dara untuk menolak mudah bola masuk ke gawang pada minit ke-38.

Pemain pertahanan, Muhammad Firdaus Ramli memastikan Malaysia selesa mendahului 3-0 pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila sepakan percuma dari sebelah kiri gawang lawan gagal ditumbuk kemas Dara.

Malaysia berpeluang menambah koleksi jaringan pada separuh masa kedua, namun gagal menemui penyudah selain kekemasan barisan pertahanan Kemboja dan ketangkasan Dara mematahkan percubaan berbahaya negara.

Kemenangan bersih ke atas Kemboja sudah pasti memberikan tonik terbaik buat skuad negara, yang akan mengharungi baki dua perlawanan terutama berhadapan Thailand, Khamis ini, selepas skuad 'Gajah Putih' itu tewas 3-4 kepada Kemboja, Jumaat lepas.

Lawan Malaysia seterusnya pada Selasa ini adalah juara empat kali, Australia yang mengumpul enam mata selepas mengharungi dua perlawanan setakat ini sebelum turun membuat perhitungan menentang Thailand pada aksi ketiga kumpulan, malam ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS