Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dipinda kepada Julai 2021, memberi ruang dan masa yang secukupnya kepada pihak penganjur, atlet-atlet, pegawai dan semua pemegang taruh untuk mengatasi pelbagai cabaran yang sedang dihadapi susulan penularan pandemik Covid-19.
Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican yang menyambut baik keputusan berkenaan berkata beliau turut percaya tarikh baharu ditetapkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) itu, memberi ruang yang selesa buat semua pihak mengatur semula perancangan program latihan dan pertandingan termasuk proses kelayakan atlet yang tertangguh.
“Saya juga menyambut baik keputusan bahawa atlet-atlet yang telah layak sebelum ini diberi jaminan pengesahan untuk bertanding di Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut berharap Persekutuan Sukan Antarabangsa bersama IOC dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dapat mencapai kata sepakat bagi memutuskan proses kelayakan yang adil dan terbaik bagi semua atlet yang masih belum layak untuk mendapat peluang beraksi ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.
Reezal Merican menegaskan, pihak kementerian sentiasa menyokong usaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) supaya pihak IOC dan IPC dapat memberikan pertimbangan sewajarnya bagi memastikan atlet-atlet negara mendapat kejohanan kelayakan yang terbaik untuk mencerahkan peluang beraksi pada kedua-dua temasya sukan berprestij itu.
Beliau berkata kementerian, MOM dan MPM akan terus bekerjasama rapat untuk memastikan kesiapsiagaan kontinjen Malaysia di tahap terbaik dalam merealisasikan sasaran meraih pingat sulung pertama negara pada Sukan Olimpik, selain memastikan pencapaian tiga emas pada Sukan Paralimpik Rio 2016 dapat dikekalkan atau diatasi di Tokyo nanti.
IOC, IPC dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan kerajaan Jepun bersetuju untuk menganjurkan Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 pada Julai dan Ogos 2021 selepas satu persidangan telefon pada Isnin.
Tarikh baharu Sukan Olimpik Tokyo 2020 mulai 23 Julai hingga 8 Ogos 2021, manakala Sukan Paralimpik Tokyo 2020 diadakan 24 Ogos hingga 5 September 2021.
Berdasarkan perancangan asal, Sukan Olimpik 2020 bakal dianjurkan bermula 24 Julai hingga 9 Ogos 2020, manakala Sukan Paralimpik 2020 dijadualkan diadakan 25 Ogos hingga 6 September 2020, namun terpaksa ditangguhkan susulan penularan Covid-19.
-Bernama
