Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Rooney kini pengurus sepenuh masa Derby County
Diterbitkan:  Jan 16, 2021 2:57 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Bekas ayam tambatan Manchester United dan England, Wayne Rooney, secara rasmi bersara daripada kerjaya yang membawa dia menjadi pujaan jutaan orang di seluruh dunia hari ini.

Namun Rooney tetap tidak akan berjauhan daripada dunia bola sepak kerana dia kini menjadi pengurus sepenuh masa kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Derby County.

Derby mengesahkan bekas penyerang England itu bersetuju untuk menjadi pengurus secara tetap sehingga 2023. Dia menjadi pengurus sementara kelab yang berada di kedudukan ketiga terbawah liga itu menggantikan bekas pemain antarabangsa Belanda, Phillip Cocu.

“Kami dengan berbesar hati mengesahkan pelantikan Wayne Rooney sebagai pengurus baru.

“Kejayaan di bawah seliaan Rooney disambut dengan persembahan positif," kata Ketua Pegawai Eksekutif Derby, Stephen Pearce seperti dipetik AFP.

Terdahulu di bawah seliaan Rooney kelab itu mengharungi sembilan perlawanan, dengan tiga daripadanya berakhir dengan kemenangan, manakala selebihnya seri.

Sementara itu, Rooney berkata, dia sangat bangga dengan potensi Derby dan berjanji untuk melakukan yang terbaik untuk mengurus pasukan terbabit.

“Untuk diberi kesempatan bagi mengikuti jejak Brian Clough, Jim Smith, Frank Lampard dan Phillip Cocu, ini adalah suatu penghormatan.

“Saya berjanji kepada semua orang yang terlibat dalam kelab dan semua peminat serta kakitangan, saya akan berusaha keras untuk mencapai potensi yang saya saksikan selama 12 bulan terakhir kelab bola sepak yang bersejarah ini,” kata Rooney.

Untuk rekod Liga Kejuaraan adalah liga kedua selepas Liga Perdana Inggeris. Ketika ini ia diungguli kelab Norwich City, diikuti Swansea dan Bournemouth.

Selepas menamatkan kerjayanya bersama Manchester United, Rooney sempat berhijrah seketika ke Everton. Ia merupakan kelab yang menjadi titik permulaan persembahan Rooney mencuri perhatian ramai pengurus termasuk Alex Ferguson.

Rooney kemudian berhijrah ke AS untuk bermain dengan kelab DC United selama dua tahun mulai 2018.

Pada 2020 dia kembali ke England untuk bermain untuk Derby sebelum bersara sepenuhnya mulai semalam.

Lihat Komen
ADS