Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan peruntukan RM10 juta bagi pembinaan kompleks sukan di Jeli sebagai persiapan Kelantan untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata pembinaan kompleks sukan yang boleh memuatkan 1,000 penonton itu dijadualkan bermula hujung tahun ini, dan dijangka siap pada 2023.
"Kompleks sukan ini akan dibina di tapak seluas 3.2 hektar di bandar Jeli yang merangkumi padang bola sepak, tempat duduk penonton, padang tenis, trek olahraga dan dewan tertutup.
"Ia sebagai langkah persiapan bagi SUKMA 2026 nanti yang mana Jeli adalah antara satu lokasi untuk venue sukan berbasikal dan petanque," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Bharu hari ini.
Wan Roslan berkata bersebelahan kompleks itu adalah tapak pembinaan velodrome berbasikal bertaraf antarabangsa yang dianggarkan bernilai RM30 juta. Selepas cuti Tahun Baru Cina, pegawai daripada KBS akan datang untuk melawat tapak berkenaan bagi urusan selanjutnya,” katanya.
Jelasnya kawasan kompleks itu terletak kira-kira 5 kilometer dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Jeli yang bakal menjadi lokasi penginapan atlet yang bertanding di kawasan itu dan UMK akan menjadi venue bagi sukan petanque kerana universiti itu telah mempunyai gelanggang sukan berkenaan.
Tambah Wan Roslan, ketika ini pihaknya sudah memulakan program pencarian bakat muda bermula Januari lepas sebagai persediaan atlet SUKMA.
- Bernama
