Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Boleh tengok bola di stadium jika kes Covid-19 turun - PM
Diterbitkan:  Mar 4, 2021 6:14 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan mungkin akan membenarkan kehadiran penonton di stadium pada skala kecil secara berperingkat bagi menonton perlawanan bola sepak apabila kes COVID-19 di negara ini dapat diturunkan.

Beliau berkata perkara itu amat penting agar sukan bola sepak yang merupakan antara sukan nombor satu di negara ini kembali gemilang dan penonton turut terlibat meraikan permainan tersebut.

“Mungkin juga pada masa akan datang bila keadaan mengizinkan maka bolehlah kita benarkan kehadiran penonton di stadium secara berskala kecil atau berperingkat jika kes COVID dapat kita turunkan.

“Bagi saya ini amat penting supaya sukan bola sepak iaitu antara sukan nombor satu di negara kita ini kembali semula gemilang dan penonton dapat lebih terlibat bersama-sama meraya dan meraikan permainan bola sepak yang menjadi kebanggaan kita semua,” katanya dalam hantaran video di laman sosial Facebook Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Perdana menteri turut mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang bakal berentap merebut Piala Sultan Ahmad Shah dalam aksi Sumbangsih esok menandakan bermulanya Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

“Selamat bertanding dengan semangat kesukanan. Mudah-mudahan dengan cara ini sukan di Malaysia akan terus bersemarak,” katanya

Pertembungan juara dan naib juara Liga Super 2020 itu akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor.

Muhyiddin turut menzahirkan ucapan sama kepada semua pasukan yang akan bersaing dalam Liga Super dan Liga Premier yang membuka tirai Sabtu ini.

Pandemik COVID-19 di negara ini yang masih perlu diawasi menyaksikan penguatkuasaan prosedur operasi standard Liga-M 2021 diperketat serta model gelembung sukan diaplikasikan sekali gus saingan berlangsung tanpa kehadiran penonton di stadium.

- Bernama

Lihat Komen
ADS