Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pemain bola sepak wanita Malaysia, Berlin tempa nama di Sepanyol

Selepas Celine Chuang menempa nama di Jerman sejak Julai lepas, kini seorang lagi pemain bola sepak remaja wanita negara, Berlin Leong mula mengukir nama di pentas antarabangsa dengan mewakili sebuah kelab Sepanyol, sejak November lepas.

Berlin atau nama sebenarnya Leong Xin Yang, 19, membawa nama Malaysia di pentas bola sepak dunia apabila beraksi untuk skuad wanita kedua C. F. Pozuelo di Sepanyol.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan di laman Facebook hari ini, memaklumkan Berlin memulakan langkah di bumi Sepanyol selepas diberi peluang pertama beraksi bersama pasukan belia C. F. Pozuelo (C. F. Pozuelo Juvenil A) pada Ogos 2019.

Sementara itu, Berlin menyifatkan peluang beraksi untuk kelab baharu tersebut sebagai satu pengalaman yang sangat berharga, selain menyatakan latihan di sana berbeza daripada apa yang pernah beliau jalani di tanah air sebelum ini.

"Latihan di sini sedikit berbeza kerana ia meliputi aspek taktikal serta fizikal dalam satu sesi. Saya tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri kerana telah menganggap jurulatih serta rakan pasukan sebagai keluarga di sini," jelas Berlin.

Beliau memberitahu walaupun terpaksa pulang ke Malaysia pada Mac 2020 gara-gara pandemik Covid-19, ia bukanlah penghalang baginya meningkatkan prestasi dan dedikasi sehinggalah diberi peluang membarisi skuad wanita senior kedua C. F. Pozuelo sekembalinya ke Sepanyol pada November 2020.

Selain itu, beliau juga mengimpikan untuk beraksi bersama skuad senior wanita C. F. Pozuelo selain mahu terus memberikan sumbangan kepada skuad wanita kebangsaan dalam pertandingan antarabangsa kelak.

"Ini satu penghormatan besar buat diri saya namun saya percaya bahawa terdapat banyak lagi yang perlu saya pelajari dan perbaiki.

“Sempena Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac ini, harapan saya adalah untuk melihat sukan bola sepak wanita negara boleh mencapai tahap tertinggi serta bersaing bersama pasukan-pasukan gergasi," katanya.

FAM dalam kenyataan tersebut turut memaklumkan badan induk itu sentiasa mendoakan kejayaan Berlin di Sepanyol dan berharap beliau terus cemerlang, sekali gus mengharumkan nama negara di sana.

Menurut FAM, nama Berlin mula menjadi tumpuan di bumi Sepanyol selepas diturunkan buat kali pertama pada aksi menentang skuad wanita kedua Real Madrid pada 13 Dis lepas selain berjaya membarisi kesebelasan utama pada aksi menentang Olimpico de Madrid seminggu kemudian.

Beliau pernah beraksi untuk pasukan remaja wanita kebangsaan pada Kelayakan Kejuaraan Wanita Bawah-19 Tahun AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) pada 2018, dan Japan-ASEAN Youth Sports Exchange yang merupakan sebahagian daripada program JENESYS 2018 (Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths).

-Bernama

Lihat Komen
ADS