Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
'Ambil langkah awal elak kematian atlet Muay Thai'

Penganjur acara pertandingan Muay Thai perlu mengambil langkah persediaan awal bagi mengelak kejadian tidak diingini terhadap peserta sukan itu khususnya melibatkan risiko kematian.

Presiden Persekutuan Muay Thai Professional Malaysia Mohd Fared Abdul Ghani berkata, pelbagai aspek perlu dititikberat sebelum pertandingan berlangsung termasuk bekerjasama dengan badan-badan atau persatuan bertauliah serta berpengalaman.

Selain itu menurutnya, apa yang paling utama adalah aspek kecerdasan dan tahap kesihatan peserta terlibat perlu dipastikan dalam kondisi terbaik.

"Dalam situasi itu penganjur perlu pastikan mereka menyediakan pegawai perubatan bertauliah untuk pemeriksaan rapi kondisi peserta sebelum dibenarkan masuk gelanggang.

"Penganjur juga perlu sediakan keperluan segera untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Misalnya sebuah ambulan sekurang-kurangnya perlu berapa di lokasi kojohanan, begitu juga kit bantuan kecemasan.

"Justeru adalah lebih baik sekiranya penganjur bekerjasama dengan persatuan bertauliah kerana kebiasaannya mereka sudah faham selok-belok dan risiko pertandingan

serta mempunyai petugas teknikal yang lengkap," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, semalam.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kejadian seorang petinju dari Thailand yang juga peserta Kejohanan Muay Thai Ambang Merdeka 2022 di Padang Kolej Uniti Kota Bharu, Kampung Che Deris Badang di Kelantan, meninggal dunia akibat pendarahan otak, Sabtu lalu.

Mohd Fared berkata, kejadian seumpama itu pastinya di luar jangkaan, namun pihak penganjur perlu mengambil persediaan awal yang rapi.

Menurutnya, semua pihak harus faham sukan Muay Thai adalah sejenis sukan combat yang berisiko kepada peserta untuk berdepan kecederaan bahkan kematian.

"Sebab itu sebelum perlawanan peserta diwajibkan menandatangani dokumen perjanjian atau surat akuan bahawa setiap peserta akan menanggung sendiri risiko perlawanan yang dihadapi. Ini perkara yang amat penting dan asas syarat penganjuran.

"Dalam situasi sekarang bukan sahaja persatuan amatur atau berstatus profesional yang boleh menjadi penganjur, sebaliknya syarikat swasta juga dibenarkan menganjur kejohanan.

"Jadi adalah lebih baik jika sebarang penganjuran melalui kerjasama persatuan profesional demi memastikan setiap langkah penting tidak terlepas pandang," katanya.

Tambahnya lagi, kebiasaannya persatuan profesional mempunyai fasiliti lengkap termasuk dalam aspek pengadilan dan mengambil berat soal kepatuhan undang-undang dan berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan.

"Misalnya jika peserta itu dari Thailand, kita kena pastikan dia masuk ke negara ini secara sah untuk mengelak sebarang masalah berbangkit.

"Persatuan profesional juga mempunyai barisan juri berpengalaman yang boleh mengawal pertandingan dengan baik termasuk mengenal pasti sama ada seseorang petinju boleh meneruskan perlawanan atau tidak jika berlaku kecederaan semasa bertanding.

"Akhir sekali, pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai pengeluar permit juga seharusnya memahami dan menyemak status persatuan melalui Pesuruhjaya Sukan sebelum meluluskan permit kejohanan," kata Mohd Fared yang juga ketua urusetia luar 76 Wilayah Persatuan Muay Thai Tahiland.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS