Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
'The Daddies' enggan gantung raket lagi
Diterbitkan:  May 24, 2023 7:26 PM
Dikemaskini: 11:26 AM

Biarpun usia semakin meningkat, beregu sensasi Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan masih belum bersedia untuk menggantung raket.

Mohammad Ahsan, 35, berkata beliau dan Hendra yang diberi julukan The Daddies menunggu waktu yang tepat untuk mengumumkan berita persaraan nanti.

“Ya tunggu saja, pasti ada nanti momennya,” katanya kepada ketika ditemui pada Masters Malaysia 2023 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Mohammad Ahsan, gandingannya bersama Hendra yang berada di kedudukan enam terbaik dunia juga tetap mahu mencuba untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, biarpun menyedari Indonesia memiliki beberapa beregu handalan antaranya pasangan utama dunia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dan gandingan kesembilan dunia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin.

Ditambah dengan kemunculan semula gandingan bekas nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dan juara All England 2022, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana, saingan pastinya sengit dalam perebutan slot ke Paris 2024 kerana hanya dua wakil dari setiap negara dibenarkan bermain pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Terdahulu, Mohammad Ahsan-Hendra mara ke pusingan kedua Masters Malaysia 2023 selepas menyingkirkan wakil Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Yang Ching Tun 21-18, 21-8 pada saingan pusingan pertama berlangsung di Axiata Arena.

Mohammad Ahsan-Hendra menempah pertemuan dengan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan dari Taiwan yang mengetepikan pasangan Jepun Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi 16-21, 21-11, 21-17.

Mohammad Ahsan-Hendra adalah antara beregu lelaki terbaik pernah dilahirkan Indonesia termasuk merangkul tiga gelaran juara dunia pada edisi 2013, 2015 dan 2019 selain membantu Indonesia menamatkan kemarau hampir dua dekad dengan menjuarai Piala Thomas edisi 2020 di Aarhus, Denmark.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS