Akmal Rizal puas hati prestasi Harimau Kumbang
Jurulatih interim Penang FC Akmal Rizal Ahmad Rakhli berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan barisan pemain pada aksi Liga Super menentang Terengganu FC di laman sendiri malam tadi.
Katanya kejayaan mengikat finalis Piala Malaysia pada minit-minit akhir perlawanan ketika mereka diambang kekalahan merupakan detik yang menggembirakan sekali gus memperlihatkan para pemain berada dalam prestasi yang baik.
"Satu mata ini cukup penting bagi saya kerana selepas diberikan tanggungjawab memimpin pasukan dua minggu lepas, kami mendapat kemenangan ke atas Sri Pahang FC dan malam ini kami peroleh satu mata dengan mengikat Terengganu FC 1-1.
"Tidak tewas dan mengutip empat mata dalam dua perlawanan adalah sesuatu yang boleh dibanggakan serta jelas menunjukkan para pemain berada dalam karakter dan motivasi untuk mendapatkan keputusan yang baik.
"Mereka (pemain) telah bertungkus-lumus untuk berjuang mengikut apa yang kami rancang dan hasilnya dapat kita lihat dalam perlawanan lepas dan malam ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Bandaraya, George Town malam tadi.
Ditanya mengenai perlawanan terakhir menentang juara liga, JDT dua minggu lagi, Akmal Rizal berkata tiada harapan diletakkan Skuad Harimau Kumbang namun berjanji akan menyajikan aksi terbaik buat para penyokong.
"Semua tahu JDT mempunyai barisan pemain yang kualitinya jauh lebih baik daripada mana-mana pasukan dalam liga jadi untuk perlawanan terakhir musim ini, pasukan bermain tanpa tekanan.
"Mereka akan seronok bermain dengan juara liga tetapi sudah tentu kami akan berjuang untuk mempertahankan nama Penang FC serta cuba mendapatkan permainan yang boleh dibanggakan oleh penyokong kami," katanya.
Bekas penyerang skuad kebangsaan berusia 41 tahun itu menambah, dia juga sudah bersedia sekiranya diberikan peluang untuk terus mengemudi Penang FC dengan menggabungkan pemain sedia ada dengan pemain baru yang lebih berkualiti serta pemain import bagi membentuk pasukan lebih mantap untuk mengharungi saingan liga musim depan.
Sementara itu, jurulatih Terengganu FC Tomislav Steinbruckner berlapang dada dengan keputusan malam tadi biarpun sedikit kecewa dengan kesilapan dilakukan anak buahnya pada saat akhir hingga menyebabkan mereka terlepas peluang mengutip tiga mata penuh.
Begitu pun, Steinbruckner berkata perlawanan menentang Penang FC itu dilihat sebagai pendedahan terbaik terutama buat barisan pemain muda dan fokus selepas ini adalah mempersiapkan pasukan bagi menentang JDT pada aksi final Piala Malaysia Jumaat ini.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/07/d8a604e08fbddeb37e9588c3789a50ab.jpg)
