WAWANCARA | Transformasi digital yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bukan sekadar untuk memperkemas sistem tetapi membantu mengoptimumkan sumber manusia sedia ada.

Pengarah Bahagian Kesihatan Digital KKM, Dr Maheshwara Rao Appanan berkata, pelaksanaan sistem pengurusan klinik berasaskan teknologi awan (CCMS) merupakan langkah strategik kerajaan mentransformasi sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan awam agar lebih cekap, pantas dan mesra pengguna. 

“Dengan pengurangan tugasan manual seperti pengisian borang, pencarian fail fizikal dan penulisan laporan secara manual, petugas kesihatan kini dapat memberi tumpuan penuh kepada aspek klinikal dan interaksi langsung bersama pesakit.

“Kerajaan juga sedang menjalankan kajian keperluan tenaga kerja yang lebih komprehensif untuk memastikan pengagihan sumber manusia lebih seimbang dan efektif berdasarkan data beban kerja dan kapasiti klinik yang diperoleh secara masa nyata melalui sistem digital. 

“Pendekatan ini membolehkan perancangan penempatan pegawai kesihatan dibuat secara bersasar, responsif dan berasaskan keperluan sebenar di lapangan serta memastikan kesinambungan perkhidmatan berkualiti, walaupun dalam situasi kekangan sumber,” katanya.

Beliau menjelaskan, dengan pelaksanaan sistem bersepadu antara klinik dan hospital, segala maklumat berkaitan pesakit termasuk rekod perubatan, sejarah rawatan, keputusan makmal dan laporan pengimejan dapat dikongsi secara digital serta-merta.

Katanya, langkah itu mempercepatkan proses rujukan, pengesahan, dan penyediaan rawatan susulan tanpa keperluan kepada prosedur berulang atau penyerahan dokumen fizikal yang memakan masa.

“Data pesakit dapat diakses oleh petugas kesihatan sebelum kehadiran pesakit, sekali gus membolehkan penyediaan pelan rawatan dilakukan lebih awal dan terancang.

“Hasilnya, aliran kerja menjadi lebih tersusun dan masa menunggu pesakit dapat dikurangkan secara signifikan, iaitu daripada purata tiga jam kepada 30 minit. 

“Hal ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi di klinik, malah mengurangkan kesesakan serta tekanan yang dihadapi oleh petugas kesihatan. 

“Pendekatan itu memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dari segi peningkatan kualiti perkhidmatan serta memperkukuh keyakinan terhadap sistem kesihatan awam negara,” katanya.

Maheshwara berkata, selain itu, sistem janji temu pintar yang diperkenalkan membolehkan hospital menjadualkan pesakit berdasarkan keutamaan klinikal, kekosongan slot dan tahap kritikal sesuatu kes. 

Menurut beliau, ia berpotensi besar untuk mengurangkan tempoh menunggu kepada hanya beberapa minggu berbanding beberapa bulan, terutamanya bagi kes-kes yang memerlukan perhatian segera. 

“Transformasi ini merupakan langkah ke hadapan dalam memastikan rakyat mendapat rawatan susulan tepat pada masanya, sejajar dengan prinsip kesaksamaan dan efisiensi dalam sistem kesihatan negara,” katanya.

Maheshwara berkata, kerajaan menyedari pengalaman pesakit tidak hanya bergantung kepada kecekapan sistem digital semata-mata, tetapi turut dipengaruhi oleh kemudahan fizikal yang selesa dan kondusif. 

Justeru, menurutnya, selari dengan pelaksanaan sistem baharu itu, kerajaan sedang mengenal pasti fasiliti kesihatan yang memerlukan penaiktarafan infrastruktur, termasuk ruang menunggu yang lebih luas, laluan mesra OKU, dan tempat letak kereta yang mencukupi.

“Gabungan pendekatan digital dan fizikal itu akan dilaksanakan secara berperingkat, mengikut keutamaan lokasi dan tahap keperluan, bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan benar-benar berfokuskan pesakit, selesa dan menyeluruh,” katanya.

Sebagai persiapan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan datang, kerajaan telah mula melaksanakan CCMS serta inisiatif Satu Individu, Satu Rekod.

Susulan itu, pada Februari lalu, kerajaan mengumumkan peruntukan RM18.9 juta bagi menjalani transformasi digital termasuk pelaksanaan CCMS di 100 klinik kesihatan (KK) seluruh negara pada tahun ini.

Usaha itu bertujuan untuk menyatukan data pesakit dan memastikan akses masa nyata di seluruh kemudahan kesihatan awam dan swasta.