FAQ untuk Mahathir
FAQ adalah bahasa Internet yang bermakna soalan yang sering ditanya. Pada ketika ini rasa saya pasti banyak soalan yang ingin ditanyakan oleh warga kepada Tun Dr. Mahathir Muhamad.
Soalan yang sering ditanya ialah Adakah Dr. Mahathir ingin kembali berkuasa?
Saya ingin membawa pembaca untuk memahami kembali latar, tanda dan makna pertempuran yang sedang berlaku antara Datuk Seri Abdullah Badawi dengan Dr. Mahathir. Saya menyebut pertempuran. Bagi saya apa yang sedang berlaku bukan satu krisis. Walau pun ada kumpulan atau susuk-susuk yang ingin menyatakan bahawa apa yang sedang berlaku hanya kocakan air dalam cawan.
FAQ adalah bahasa Internet yang bermakna soalan yang sering ditanya. Pada ketika ini rasa saya pasti banyak soalan yang ingin ditanyakan oleh warga kepada Tun Dr. Mahathir Muhamad.
Soalan yang sering ditanya ialah Adakah Dr. Mahathir ingin kembali berkuasa?
Saya ingin membawa pembaca untuk memahami kembali latar, tanda dan makna pertempuran yang sedang berlaku antara Datuk Seri Abdullah Badawi dengan Dr. Mahathir. Saya menyebut pertempuran. Bagi saya apa yang sedang berlaku bukan satu krisis. Walau pun ada kumpulan atau susuk-susuk yang ingin menyatakan bahawa apa yang sedang berlaku hanya kocakan air dalam cawan.
Tetapi untuk saya tirai telah terbuka, pentas sudah tersedia dan bertempuran telah bermula.
Dalam naratif Dr.Mahathir/Abdullah ini kita tidak boleh mengambil iktibar dari kitab Hang Tuah atau dari kitab Ramayana. Sekali imbas naratif ini dilihat kompleks kerana antoganis/protoganis, hero dan anti heronya adalah kedua-dua mereka sekali gus. Justeru, apa yang wajib kita lakukan ialah melerai rambut dalam tepung untuk meneliti dan memahami pertempuran ini.
Juak-juak, para tukang sorak dan tukang jerit ' saya sokong' dari gerombolan Dr.Mahathir sedang aktif. Mereka kini telah/sedang mengambil tempat masing-masing. Cita-cita gerombolan ini ialah untuk menjatuh/mengenepikan Abdullah.
Jika kita teliti ucapan Dr. Mahathir di Taman Melawati maka kita akan dapat melihat bagaimana Dr. Mahathir dengan licik sekali telah berhujah untuk mengolah persetujuan orang ramai agar sama-sama bersetuju bahawa pentabiran Abdullah cukup bobrok dan perlu diganti.
Bush/Cheney/Rumsfeld/ ( orang-orang jahat dari negara atas angin ) telah mengolah persetujuan rakyat Amerika dan dunia dengan tohmahan dan kutukan terhadap Saddam Hussein. Gerombolan Bush telah menggunakan 'Weapons of Mass Destruction' sebagai penguat hujjah. Manakala ledakan 9/11 di bangunan World Trade Centre yang dirancang dari dalam hanyalah tanda koma sebelum Iraq diserang.
Mahathir pula telah menggunakan Singapura sebagai 'musuh' utama untuk mengolah persetujuan orang Melayu. Ini bukan sesuatu yang memeranjatkan. Semenjak tahun 1965 Singapura memang telah dijadikan tanda yang membawa makna musuh kepada orang Melayu. Tanda ini juga sama seperti slogan dan kempen dalaman United Malay National Organisations (Umno) yang menggunakan 'cina/orang asing/pendatang' sebagai tanda musuh.
Sama seperti Bush yang telah menggunakan Iraq dan Saddam, Dr.Mahathir pula sedang menggunakan Lee Kuan Yew dan Cina Singapura.
Dalam usaha mengolah persetujuan orang ramai ini Dr. Mahathir telah mengkibarkan bendera nasionalis untuk mempertahan harta kekayaan negara kita ini dari disamun oleh cukong-cukong Cina dari Singapura. Tanpa diminta, tanpa
disogok, agenda kedaulatan Tanah Melayu telah ditimbulkan sama. Mengikut leteran Dr. Mahathir, kedaulatan Tanah Melayu kini sedang diinjak-injak oleh Cina Singapura kerana Abdullah tidak bijak menjadi pemimpin.
Abdullah hanya sempat masuk ke kedai Bally di Oxford Street, London dan tidak pernah sampai ke Universiti Oxford.
Sepintas lalu, mungkin ramai warga yang 'termakan' kong kalikong Dr. Mahathir ini. Menggunakan Lee Kuan Yew dan Cina adalah umpan pancing yang baik untuk manusia Melayu.
Julap Cina cap Lee Kuan Yew ini masih mujarab untuk digunakan kerana selama 22 tahun ini manusia Melayu telah dibonsaikan akal dan fikrah mereka. Otak yang bonsai tidak memiliki keupayaan untuk berfikir dengan rasional dan kritikal.
Pelbagai akta
Sebenarnya apa yang berlaku hari ini pada hakikatnya adalah hasil kerenah dan tindak tanduk Dr. Mahathir sendiri. Selama 22 tahun beliau sebagai Perdana Menteri pelbagai kerenah telah dilakukan. Pelbagai akta telah diluluskan.
Untuk anak muda/mahasiswa/pelajar Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) telah diperketatkan lagi. Untuk kesatuan buruh, mereka telah tidak dibenarkan bertindak sokong menyokong dalam solidariti perjuangan menuntut hak. Untuk orang kampung Akta Tanah telah membolehkan cukong-cukong dan para kroni merembat tanah-tanah orang Melayu di kampung-kampung.
Untuk menutup rahsia jahat pentabiran Dr.Mahathir, Akta Rahsia Rasmi (OSA) telah diperkenalkan. Untuk akhbar dan media Akta Percetakan diwujudkan. Untuk memastikan pilihanraya akan terus memenangkan gerombolan Dr. Mahathir, Suruhanjaya Pilihanraya telah dikembirikan.
Untuk mengabui mata rakyat dalam hal hak asasi, Suhakam telah ditubuh. Untuk mempertahankan samseng berunifiorm a..k.a polis, Akta Polis diperketatkan lagi. Untuk memastikan badan kehakiman terus lembik, Majlis Peguam telah diadu domba antara peguam muda dengan peguam tua.
Lembaga Raja-Raja Melayu yang pada satu ketika dahulu boleh menandingi kuasa Dr. Mahathir kini telah diporak perandakan. Untuk memastikan musuh politik terus dapat dikalahkan, Dr.Mahathir telah dilengkapi dengan ISA.
Umno telah diharamkan dengan tujuan memastikan Dr. Mahathir akan terus berkuasa. Pengharaman dilakukan agar satu parti baru ditubuhkan di mana Dr. Mahathir menjadi ketua, tanpa dipilih kerana dia melantik dirinya sendiri.
Untuk terus memastikan seratus peratus kekuasaan dalam parti baru ini, Dr. Mahathir telah membuat beberapa peraturan baru. Pindaan perlembagaan parti baru ini telah dijadikan tembok untuk mendindingi dirinya dari dilawan musuh politik dalaman.
Untuk mengabui mata pemimpin dunia ketiga (yang kebanyakannya bertaraf 'half past six') Mahathir telah 'berumrah' beberapa kali ke Havana. Untuk menutup hutang judi Bank Negara yang kehilangan RM25 bilion, Dr.Mahathir telah menuduh Soros seorang Yahudi sebagai penyangak.
Untuk meredakan kritikan manusia Melayu/Islam dalam negara ini, Dr. Mahathir telah membuat deklarasi sendiri dan mengistiharkan Malaysia sebagai negara Islam.
Sepanjang berada dibawah pimpinan Dr. Mahathir, selama 22 tahunlah penerapan budaya rasuah, kronisma dan nepotisma dilakukan. Untuk memastikan yang dia terus mendapat sokongan dari pelbagai 'contract jungkie' a.k.a kroni, Mahathir telah melancarkan rompakan harta negara di hari siang dengan menggunakan istilah penswastaan.
Untuk menyorokkan bagaimana dia telah menjual kedaulatan negara ini melalui ikat janji dengan Amerika, Dr. Mahathir
telah membuat perjanjian rahsia. Perjanjian telah ditanda tangani secara sulit dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Casper Weinberger.
Untuk mendodoikan ahli-ahli Umno dari kampung dan dari lembah Felda, Mahathir telah membuat ketupat terbesar, bangunan tertinggi, bendera terpanjang, jalan terbesar dan empangan terkuat. Selama 22 tahun ini Dr.Mahathir telah membangunkan bentuk-bentuk dan bingkai-bingkai besar agar dapat dilihat oleh Mak Cik dan Pak Cik tetapi kosong dengan pengisian.
Hari ini satu demi satu bingkai-bingkai ini telah mula reput. Jambatan cap ayam buatan Dr.Mahathir telah mula runtuh. Stadium di Bukit Jalil yang juga cap ayam telah mula retak dan bocor di sana sini. Hospital baru cap ayam telah mula bercendawan. Dinding-dinding bangunan telah mula senget. Atap telah mula tiris. Jejambat di lebuhraya telah mula retak dan senget.
Semua ini adalah duit rakyat yang telah digunakan oleh Dr. Mahathir untuk memberi suntikan kepada para kroni dan contract jungkies yang menjadi juak dan tukang cium tangannya.
Apa yang saya tulis ini hanyalah sebahagian dari 'jenayah' yang telah dilakukan oleh Dr. Mahathir terhadap warga negara ini. Jika kurang yakin biar saya surahkan satu contoh yang paling senang untuk sama-sama kita fahami - hingga ke hari ini belanjawan Sukan Komonwel 1998 masih lagi belum diaudit. Jika belanjawan Sukom 98 masih terbarai, jangan harap rakyat akan tahu berapa billion duit Petronas yang telah dirompak untuk membuat projek-projek 'mega'.
Apakah kerana semua ini akan terbongkar maka Dr.Mahathir sanggup bertempur dengan Abdullah? Bagi saya jawapannya ialah tidak!
Dr. Mahathir bukan risau tentang projek meganya dilupuskan. Dr. Mahathir tidak akan ambil peduli jika Langkawi terbengkalai. Dr.Mahathir tidak akan peduli jika
kroni-kroninya diheret ke penjara. Dr.Mahathir tahu Proton itu kereta Jepun jadi tidak perlu dia terpekik terlolong. Dr.Mahathir tidak akan ambil pusing jika semua 'contract jungkies' mati tegak berdiri mengigal kerana hutang piutang.
Apa yang sedang menghantui Dr.Mahathir hari ini ialah kembalinya Datuk Seri Anwar Ibrahim ke pesada politik arus perdana di dalam dan di luar negara. Anwarlah yang menyebabkan Dr.Mahathir tegak berdiri termimpi-mimpi,
tidur malam mata terbuka. Berlunjur tersepak, bersimpuh terkait, berjalan terlanggar, berundur terantuk. Anwar musuh utama Dr.Mahathir kini telah bebas.
Pengaruh Oxford
Kebebasan Anwar inilah yang memaksa Dr.Mahathir melutut ke malaysiakini untuk bersetuju ditemu bual.
Ketika menulis ini saya berpendapat bahawa Dr.Mahathir, kuncu-kuncunya, para juak dan tukang sorak dalam gerombolannya sedang bersiap sedia untuk kembali berpesta dengan projek-projek mega. Semua mereka sedang siap siaga untuk mencari kontrak.
Saya juga berpendapat pada ketika ini gerombolan Dr.Mahathir sedang berada dalam garis tahap kemenangan. Lalu kembali persoalan awal tadi apakah Dr. Mahathir akan kembali berkuasa untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Jawapan saya ialah ya dan tidak.
Tidak Dr.Mahathir tidak akan kembali untuk menjadi Perdana Menteri. Ya Dr. Mahathir akan kembali berkuasa tetapi kali ini dia akan berkuasa melalui boneka baru yang akan dilantiknya. Boneka ini wujud dalam susuk yang bernama Datuk Seri Najib Razak. Lalu timbul persoalan kenapa Najib tidak dilantik dari awal dahulu? Kenapa Abdullah dilantik?
Untuk jawapan ini saya ingin membawa pembaca pergi jauh ke Pakistan pada tahun 1976. Pada ketika ini Perdana Menteri Pakistan, Zulfikar Ali Bhutoo telah melantik Jeneral Zia-ul-Haq sebagai ketua bala tentera Pakistan. Ali Bhutoo telah melantik Zia walau pun ada jeneral-jeneral yang senior dan lebih berpengalaman dari Zia. Dalam perancangan Bhutoo, Zia bukanlah seorang yang cerdik justeru tidak mungkin jeneral yang 'bodoh' ini akan melakukan satu rampasan kuasa.
Perhitungan yang sama juga wujud dalam strategi licik Dr. Mahathir. Abdullah mengikut pandangan umum bukanlah seorang ahli politik yang cekap tetapi seorang civil servant yang warak. Justeru, tidak mungkin Abdullah akan berani melakukan satu tindakan politik yang.membuatkan Dr.Mahathir hilang nafsu untuk berkuda di Argentina.
Zulfikar Ali Bhutoo dan Dr.Mahathir tersalah hitung. Di belakang Zia-ul-Haq ialah kabal-kabal Zionis yang merasa terancam kerana cita-cita Bhutoo untuk membuat bom nuklear. Akhirnya jeneral yang 'bodoh' ini telah mengantung bossnya yang berijazah dari Havard dan Oxford. Bagitu juga dengan
Abdullah yang dibaca kurang cerdik oleh Dr.Mahathir tetapi dibelakangnya ada anak menantu dan kawan-kawannya di tingkat 4 yang berijazah dari Oxford dan Cambridge
Lalu, sebelum dirinya dihadapkan ke mahkamah seperti Ali Bhutoo, Dr.Mahathir telah mengambil langkah untuk mencari Abdullah hingga ke lubang cacing.
Boneka baru dalam susuk Najib ini nanti adalah boneka yang paling setia. Boneka ini tidak akan bergerak tanpa ditarik dari belakang oleh Tok Dalang Dr.Mahathir. Hasil dari boneka baru ini pastilah arus demokrasi yang mula terbayang di zaman Abdullah ini akan dipadamkan.
Laporan-laporan jenayah rompakan duit rakyat oleh para cukong dan kroni akan tinggal untuk menjadi mitos rakyat. Kes-kes baru yang akan dibuka di mahkamah nanti akan menjadi rakaman semula 'Tuan Hacks' yang menjadi relevant sekali lagi.
Besar kemungkinan Anwar juga akan dihadapakan dengan tuduhan baru. Kali ini tuduhan ke atas Anwar ialah - dia ditangkap berkhalwat di Port Dickson dengan penyanyi popular bernafas panjang.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.