Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan Presiden MIC SA Vigneswaran akan bertanding di kerusi Parlimen Segamat pada PRU16 manakala timbalannya, M Saravanan, kekal mempertahankan Tapah.

Ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-80 di Austin International Convention Centre (AICC), Johor Bahru, Zahid mengaitkan hubungan baik Vigneswaran dengan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dengan peluangnya di Segamat.

"Tan Sri (Vigneswaran) baik-baik dengan MB Johor, sebab itu kawasan (Segamat) yang selamat. Kalau itu selamat, Tan Sri pun selamat," katanya.

Onn Hafiz turut hadir pada perhimpunan yang dihadiri lebih 2,000 perwakilan itu.

Segamat merupakan kerusi tradisi MIC sebelum parti itu tewas kepada PKR pada PRU14, pada 2018.

Mengenai Saravanan, Zahid yang juga presiden Umno berkata timbalan presiden MIC itu sudah empat penggal menjadi ahli Parlimen Tapah dan dia berharap Saravanan terus bertanding di Perak.

"Saya orang Perak, jadi saya harap dia kekal di Perak," katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan spekulasi Saravanan akan bertanding di Sungai Siput, manakala Vigneswaran mengambil tempatnya di Tapah.

Zahid turut berkata dia akan menandatangani watikah pencalonan Vigneswaran apabila tiba masanya.

Dia menyasarkan MIC memenangi sekurang-kurangnya lima kerusi pada PRU16.

Zahid turut memuji MIC kerana membuktikan keupayaannya memenangi kerusi yang diperuntukkan, walaupun menurutnya jumlah kerusi itu kadangkala belum setimpal dengan nilai parti tersebut.

Pada PRU15, MIC hanya memenangi satu daripada 10 kerusi Parlimen yang ditandinginya.

Saravanan menjadi satu-satunya calon MIC yang menang selepas mempertahankan Tapah dengan majoriti 5,064 undi, manakala sembilan calon lain parti itu tewas.

Dihubungi secara berasingan, Vigneswaran berkata tumpuannya lebih kepada memperkukuh parti, sementara keputusan mengenai pencalonannya bergantung kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC.

"Saya lebih minat memperkuatkan parti daripada bertanding di PRU. Apa pun ia terletak kepada keputusan pusat pimpinan parti.

"Mungkin bertanding di Segamat, mungkin tidak," katanya.