Presiden MIC SA Vigneswaran mengesahkan dia berminat bertanding di kerusi Parlimen Kota Raja pada PRU16, malah meramalkan Presiden Amanah Mohamad Sabu akan tewas jika mempertahankan kerusi itu.

Ketika ditanya sama ada dia akan bertanding di Segamat, Vigneswaran berkata tiada halangan untuk berbuat demikian, namun buat masa ini dia perlu memberi tumpuan kepada urusan parti.

"Kalau nak jujur, saya nak bertanding di Segamat tak ada isu, saya boleh bertanding. Tapi saya ada banyak kerja parti untuk diselesaikan.

"Saya ada niat nak bertanding di Kota Raja, rumah saya berada di Kota Raja," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-80 di Austin International Convention Centre (AICC), Johor Bahru, semalam.

Vigneswaran turut meramalkan Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, akan kalah jika mempertahankan kerusi itu pada PRU16.

"Saya ramal Mat Sabu akan kalah di sana. (Dia memporoleh) Majoriti 70,000 pada PRU lalu, tapi itu tidak menjamin dia akan menang semula di Kota Raja," katanya.

Kenyataan itu menyusul selepas Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, ketika merasmikan perhimpunan berkenaan, memberi bayangan bahawa Vigneswaran mungkin bertanding di Segamat, manakala timbalannya, M Saravanan, kekal di Tapah.

Ahmad Zahid turut meminta Vigneswaran menjalin hubungan baik dengan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, yang dilihat sebagai petunjuk bahawa Segamat mungkin menjadi kerusi pilihannya.

"Tan Sri (Vigneswaran) baik-baik dengan MB Johor, sebab itu kawasan (Segamat) yang selamat. Kalau itu selamat, Tan Sri pun selamat," kata Ahmad Zahid, yang juga Presiden Umno.

Segamat merupakan kerusi tradisi MIC sebelum parti itu tewas kepada PKR pada PRU14 pada 2018.

Kota Raja pula bukan kawasan asing bagi Vigneswaran. Dia pernah memenangi kerusi itu atas tiket BN pada 2004, sebelum tewas pada PRU12, empat tahun kemudian, ketika berlakunya gelombang penolakan pengundi India terhadap BN.

Kerusi itu kemudian dimenangi Siti Mariah Mahmud daripada PAS, yang menyandangnya sehingga 2018.

Pada PRU14, Mat Sabu merampas kerusi berkenaan dengan majoriti 71,142 undi selepas memperoleh 90,697 undi. Dia menewaskan calon PAS Mohamed Diah Baharun dan calon BN V Gunalan.

Mat Sabu mempertahankan kerusi itu pada PRU15 dengan majoriti lebih besar, iaitu 73,998 undi. Dia memperoleh 123,306 undi, mengatasi Mohamed Diah yang bertanding atas tiket PN dengan 49,308 undi, serta calon BN Kajendran Doraisamy yang meraih 22,225 undi.

Kerjasama dengan PAS

Sementara itu, Vigneswaran berkata PAS tidak seharusnya menjadi satu-satunya parti yang dikaitkan dengan politik identiti kerana parti-parti lain juga pernah mengeluarkan kenyataan berunsur kaum atau agama.

Dia berkata demikian ketika ditanya bagaimana MIC boleh bekerjasama dengan PAS, khususnya presidennya Abdul Hadi Awang yang sering dikritik berhubung kenyataan mengenai masyarakat bukan Islam.

"Ada parti, apabila mereka nak sokongan Melayu, mereka kritik rumah ibadat Hindu dan agama, jadi lebih kurang semua parti sama sahaja.

"Keputusan tidak boleh dibuat berdasarkan satu kenyataan yang dianggap berbaur kaum atau agama.

"Ramai pemimpin PAS turut mengeluarkan kenyataan yang baik mengenai kaum dan agama lain, manakala yang bersifat sebaliknya tidak begitu banyak," katanya.

Mengenai kerjasama BN dengan PAS, Vigneswaran berkata setakat ini kepimpinan BN mahu mengekalkan hubungan itu, namun keputusan pada masa depan bergantung kepada pucuk pimpinan gabungan berkenaan.

"Buat masa ini BN kekalkan kerjasama dengan PAS. Tapi, kita kena lihat apa keputusan pucuk pimpinan BN pada masa akan datang.

"Masa itu saya akan jawab bagaimana nak bekerjasama dengan PAS, sekiranya kerjasama hari ini dikekalkan," katanya.

Baru-baru ini, Abdul Hadi menimbulkan kontroversi apabila dilaporkan berkata pada ceramah Grand Finale BN-PN di Bukit Katil, Melaka, bahawa sejahat-jahat orang Islam memerintah negara, mereka tidak sezalim orang bukan Islam.

Pejabat Presiden PAS kemudian mendakwa kenyataan itu dipetik di luar konteks dan bertujuan menjelaskan politik dalam Islam berlandaskan dosa dan pahala yang membawa kepada pemerintahan adil serta menjamin hak masyarakat bukan Islam.

Bagaimanapun itu bukan kali pertama Abdul Hadi mencetuskan kontroversi menerusi kenyataannya berhubung masyarakat bukan Islam.

Pada Ogos 2022, dia mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera bertanggungjawab terhadap sebahagian besar gejala rasuah di negara ini, dengan mendakwa mereka menggunakan pengaruh ekonomi untuk merosakkan politik, pentadbiran dan badan kehakiman. Kenyataan itu mendorong polis membuka kertas siasatan susulan beberapa laporan yang dibuat terhadapnya.