MIC desak semak pindaan zaman Mahathir hapus kekebalan Raja-Raja Melayu
MIC hari ini menggesa pindaan Perlembagaan Persekutuan 1993 ketika era perdana menteri Dr Mahathir Mohamad disemak secara menyeluruh, dengan perlindungan perlembagaan Raja-Raja Melayu yang didakwanya dikurangkan tanpa memenuhi syarat Perlembagaan dikembalikan melalui proses yang sah.
Presiden parti itu, SA Vigneswaran membuat gesaan tersebut dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Perwakilan MIC Kebangsaan ke-80 di Austin International Convention Centre (AICC), Johor Bahru.
"Perkara 38(4) dan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan jelas menetapkan bahawa undang-undang yang menyentuh kedudukan Raja-Raja memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja.
"Oleh itu, MIC menyeru untuk membawa dan memperjuangkan tuntutan supaya perkara ini disemak semula secara menyeluruh, dan kuasa serta perlindungan perlembagaan Raja-Raja yang didapati telah dikurangkan tanpa memenuhi syarat Perlembagaan dikembalikan melalui proses yang sah," katanya.
Vigneswaran, bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, merujuk rekod Hansard yang menunjukkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 18 Jan 1993 memaklumkan dia menerima surat daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menyatakan Majlis Raja-Raja tidak bersetuju dengan rang undang-undang pindaan itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/add2cbca9c084cfb68e92df31a30f1e7.jpg)
Vigneswaran berkata bantahan terhadap kelulusan pindaan tanpa persetujuan majlis itu turut dibangkitkan di Parlimen, namun proses tersebut tetap diteruskan.
"Persoalannya mudah: Jika Perlembagaan menetapkan bahawa persetujuan Majlis Raja-Raja mesti diperoleh, mengapa syarat itu boleh diketepikan?" soalnya.
Dia juga menegaskan MIC tidak menuntut kuasa mutlak dikembalikan kepada Raja-Raja, sebaliknya mahu persetujuan asal yang termaktub dalam Perlembagaan dihormati.
"Perlembagaan mesti kekal lebih besar daripada kerajaan hari ini. Tiada majoriti yang mengatasi Perlembagaan, dan tiada perlindungan perlembagaan yang harus dianggap sebagai pilihan," katanya lagi.
Pindaan 1993 diperkenalkan kerajaan BN di bawah perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, susulan beberapa insiden membabitkan dakwaan penyalahgunaan imuniti Raja-Raja.
Rang undang-undang itu dibahaskan di Dewan Rakyat pada 18 dan 19 Jan 1993.
Pindaan itu menghapuskan imuniti undang-undang Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja daripada prosiding sivil dan jenayah bagi tindakan peribadi mereka, selain menubuhkan Mahkamah Khas untuk membicarakan kes yang membabitkan mereka.
Pindaan itu berkuat kuasa pada 30 Mac 1993.
Sejak itu, sebahagian pakar perlembagaan mempersoalkan sekiranya pindaan tersebut mematuhi Perkara 38(4) dan 159(5).
Ini bukan kali pertama Vigneswaran menggesa pindaan itu disemak semula.
Ketika majlis perpisahannya sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara pada 22 Jun 2020, dia menggesa kerajaan menarik balik pindaan tersebut yang pada pandangannya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dia ketika itu turut berkata akan menerbitkan laporan setebal 72 muka surat mengenai perkara tersebut.
/file/attachments/orphans/najibrazak1_740838.png)
Sementara itu, Vigneswaran turut menyentuh polemik pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak, dengan menegaskan kritikan terhadap sesuatu keputusan tidak wajar disamakan dengan penolakan terhadap Perlembagaan.
"Saya tidak berdiri di sini untuk membela atau menghukum mana-mana individu. Perkara 42 memperuntukkan kuasa pengampunan, dan kuasa itu wujud kerana Perlembagaan sendiri memperuntukkannya.
"Kita boleh tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan. Kita boleh meneliti prosesnya. Kita boleh membangkitkan persoalan tentang pelaksanaan kuasa tersebut. Tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan tidak sama dengan menolak Perlembagaan.
"Kita tidak boleh mencampuradukkan kritikan terhadap sesuatu keputusan dengan penolakan terhadap institusi perlembagaan itu sendiri. Begitu juga, menghormati institusi tidak bermaksud kita menutup ruang perbahasan yang sah," katanya.
Dia kemudian bertanya: "Adakah kita menghormati Perlembagaan hanya apabila peruntukan-peruntukannya menghasilkan keputusan yang kita setujui?"
Pada 18 Sept lalu, Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan di Istana Negara memutuskan untuk memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib, membolehkannya menjalani baki hukuman kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, dengan syarat membayar denda RM50 juta.
Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dinyahklasifikasikan mengesahkan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan perkara itu walaupun beberapa anggota lembaga membantah, termasuk Peguam Negara Dusuki Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh.
Pada 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun.
Turut hadir pada perhimpunan hari ini ialah Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA Wee Ka Siong, Presiden PPP Logabala Mohan dan Presiden Makkal Sakthi R S Thanenthiran.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/ed951f42068e7083fa21aa81e56282c1.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.