Pemimpin Bersama, Rafizi Ramli mengingatkan PKR tentang asal usul parti itu dalam gerakan Reformasi susulan sindiran Menteri Sumber Manusia R Ramanan terhadap Malaysiakini.

Rafizi berkata Malaysiakini telah melaporkan berita PKR dan Pakatan Harapan (PH) selama bertahun-tahun dalam usaha mendedahkan skandal dan menuntut pihak berkuasa menjawab tindakan mereka, terutama ketika pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.

“Sedih,” kata bekas timbalan presiden PKR itu dalam audio siar “Yang Berhenti Menteri” malam tadi.

Dia mengulas pertikaman lidah antara Ramanan dengan seorang wartawan Malaysiakini pada sidang media baru-baru ini, apabila menteri itu enggan menjawab soalan sambil melabelkan portal berita tersebut sebagai “tabloid” dan “blog”.

Dalam video kejadian itu, wartawan berkenaan kedengaran meminta Ramanan mengulas aduan rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perkara dalam bidang kuasa kementeriannya.

Ramanan mempersoalkan kesahihan surat aduan itu dan menegaskan dia hanya akan menjawab perkara berasaskan fakta, sambil membayangkan aduan tersebut mungkin direka-reka.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata dia terus mengenali suara wartawan berkenaan.

Dia turut mengimbas keberanian wartawan Malaysiakini mengemukakan soalan sukar ketika pentadbiran Najib meskipun berdepan risiko penahanan, serbuan polis terhadap portal itu serta ancaman pengharaman.

“Bila Naib Presiden PKR memaki Malaysiakini sebagai tabloid, ini memang kacang lupakan kulit betullah, kan?” katanya.

Bekas menteri ekonomi itu turut mencabar Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang juga ketua penerangan PKR, supaya memberi maklum balas terhadap insiden berkenaan kerana kebajikan wartawan termasuk dalam bidang kuasa kementeriannya.

Menurut Rafizi, insiden itu amat menyakitkan hati memandangkan Malaysiakini ditubuhkan pada 1999, susulan sekatan pemberitaan ketika gerakan Reformasi tercetus pada 1998.

“If anything lah, perjalanan Malaysiakini tu synonymous dengan Reformasi,” tambahnya.