Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tentu sedar, sebagai orang politik yang pernah menamatkan riwayat politik dan menghina begitu banyak hulubalangnya, maka tentu ramai musuh ketatnya yang sedang menunggu peluang untuk menyaksikan kejatuhannya pula secara yang memalukan.

Sekalipun Dr Mahathir menafikan hasrat untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana tidak mampu melakukannya, namun keinginan dan kemampuan adalah dua perkara yang berlainan. Jika beliau ingin tetapi tidak mampu menjatuhkan Abdullah, maka tentu berlainan pula dengan Dr Mahathir yang mampu tetapi tidak ingin menjatuhkan Abdullah!

Hakikatnya, kalau Dr Mahathir ingin dan mampu menjatuhkan Abdullah, tentunya Perdana Menteri itu tidak akan berdiam diri. Tentunya beliau akan mempertahankan diri dan desakan Dr Mahathir secara terbuka meminta Abdullah berundur atas tuduhan menjual negara, pasti memberi ruang dan kesempatan untuk Abdullah dan Umno mengambil tindakan disiplin bekas presiden Umno itu.

Rasanya, selembut-lembutnya Mr Nice Guy, beliau tetap tahu bagaimana hendak mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia. Dr Mahathir perlu ingat, dalam kemelut kali ini, Abdullah dari awal-awal lagi telah mendapat sokongan penuh Majlis Tertinggi Umno, kabinet dan komponen Barisan Nasional (BN).

Mustahil Dr Mahathir tidak tahu paradoks dan bahayanya jika beliau tidak berhati-hati. Beliau mungkin tersungkur di tangan Mr Nice Guy yang mempunyai kuasa itu. Dr Mahathir tentu sedar, beliau tidak boleh bersandar kepada Dollah Kok Lanas, Ibrahim Ali atau mana-mana parti pembangkang yang berdiri teguh di belakangnya sekarang.

Serangan bekas Perdana Menteri ini terhadap menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin nampaknya telah berhasil. Khairy telah menjual kesemua 10.2 juta sahamnya yang mewakili 1.23 peratus saham ECM Libra.

Dan Pengerusi ECM Libra, Datuk Kalimullah Hassan pula telah mengurangkan kepentingannya dalam syarikat itu kepada 40 juta saham atau 4.8 peratus bagi mengelakkan dirinya muncul sebagai pemegang saham utama dalam syarikat tersebut.

Ekoran 'kejayaan' itu, Dr Mahathir mengambil kesempatan untuk mengemukakan dua syarat sebelum diadakan sebarang 'gencatan senjata' dengan Abdullah. Syarat pertama, beliau mahu Khairy dan mereka yang berada di tingkat empat Jabatan Perdana Menteri, menjual saham ECM Libra dan tinggalkan jabatan tersebut. Kedua. Wira Dunia Ketiga itu mahu Abdullah menyambung projek jambatan bengkok yang telah dibatalkan itu.

Dr Mahathir nampaknya masih mahukan projek jambatan bengkok itu dan sedikit sebanyak keengganannya berkompromi dalam isu akan dan telah menimbulkan pertanyaan orang ramai mengenai kemungkinan Tun sendiri mempunyai kepentingan dalam projek tersebut. Jika tidak, kenapa bermati-matian hendak memaksa kerajaan membina jambatan yang sudah dibatalkan itu?

Jambatan bengkok

Kebelakangan ini banyak pihak cuba memesongkan kemelut antara Dr Mahathir dengan Abdullah ini sebagai konflik peribadi yang hanya berkaitan dengan kroni masing-masing. Namun, tiada siapa boleh menafikan empat isu yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri itu sebenarnya itu berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negara, yang tidak patut dikompromikan bagi menyelesaikan kemelut peribadi.

Oleh itu, rakyat berhak menyoal Tun: Sebagai bekas Perdana Menteri, di mana letaknya legitimasi atau haknya untuk meminta kerajaan membatalkan sesuatu keputusan yang telah diluluskan kabinet dan diterima oleh rakyat?

Begitu juga, rakyat juga berhak mengingatkan Abdullah: Sebagai Perdana Menteri, beliau juga tidak berkuasa untuk menerima syarat Dr Mahathir untuk membina jambatan bengkok sebagai prasyarat gencatan senjata.

Prasyarat Dr Mahathir telahpun ditolak oleh Perdana Menteri dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menegaskan bahawa Umno tidak akan membincangkan isu jambatan bengkok dan isu berkaitan bekas Perdana Menteri itu lagi.

Oleh itu, mungkin sudah tiba masanya, sebuah Suruhanjaya Diraja atau Suruhanjaya Bebas ditubuhkan khas untuk menyiasat semua dakwaan salahlaku yang diungkitkan dalam keempat-empat isu dan dakwaan-dakwaan mengenai rasuah terhadap menteri-menteri dan mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Dr Mahathir dan Abdullah.

Semoga kedua-dua pemimpin ini tidak menentang penubuhan suruhanjaya terbabit. Abdullah yang berjanji akan bersikap benar, adil dan ikhlas patut mengambil inisiatif untuk menubuhkan suruhanjaya berkenaan.

Paling wajar, kemelut antara kedua-dua tokoh ini ditamatkan melalui timbangtara pihak ketiga yang bebas, secara adil dan telus.