Dalam wawancara Mohamed Azmin Ali dalam Harakahdaily mengenai kontroversi pengumuman beliau tidak akan bertanding jawatan timbalan presiden dalam kongres Parti Keadilan Rakyat Mei depan, rasanya Azmin terlalu banyak berpolitik untuk menonjolkan dirinya.

Jika Azmin ikhlas hendak menarik diri untuk memberi laluan kepada Dr Syed Husin Ali, maka tiada alasan diumumkan pada masa yang sama bahawa beliau juga tidak akan bertanding jawatan yang lain. Malah, jawatan naib presiden yang disandangnya pun turut dilepaskan, seolah-olah beliau telah merajuk dan suatu keadaan 'krisis' telah timbul.

Secara ringkas, jika Azmin menganggap dirinya lebih layak menjadi pemimpin nombor dua dalam parti berbanding dengan Dr Syed Husin seorang tokoh politik dan akademik yang berprinsip dan teruji, disegani kawan dan lawan di dalam dan luar negeri maka tidaklah keterlaluan bila beliau disifatkan oleh seorang penulis siber sebagai 'bodoh sombong'.

Oleh kerana masalah keluarga, antara lain, Dr Syed Husin telah mengumumkan hasratnya untuk bersara daripada politik dalam kongres parti itu tahun lalu. Pada awal Februari tahun ini, atas desakan pihak-pihak terbabit, beliau telah menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan jawatan timbalan presiden yang disandangnya.

Keputusan Dr Syed Husin untuk tidak bersara daripada politik adalah suatu perkembangan baik yang sepatutnya dialu-alukan oleh kepimpinan parti yang memperjuangkan reformasi politik negara dan jelas masih memerlukan perkhidmatan dan sumbangan beliau yang patut dihargai.

Namun, reaksi Azmin adalah amat negatif. Sungutan tentang apa yang disifatkan sebagai "membuat keputusan secara unilateral" dan "bertindak berseorangan", dan perasaan 'amat getir' telah diluahkan secara terbuka dan 'high profile' bila diwawancarakan oleh Harakahdaily mengenai pengumumannya yang drastik dan kontroversial itu.

Azmin (foto) disindir sebagai 'the best actor' bagi tahun 2007 kerana di satu pihak beliau mengeluarkan kenyataan memohon pimpinan dan ahli parti supaya memberi sokongan kuat kepada Syed Husin, tetapi di pihak yang lain, beliau menegaskan pula adalah hak bahagian untuk terus mencalonkan beliau, dan tidak menafi 'orang-orangnya' telah turun ke bahagian-bahagian untuk berkempen 'secara sihat' agar beliau dicalonkan untuk menandingi jawatan timbalan presiden.

Jika Azmin mengambil keputusan tegas memberi laluan kepada Dr Syed Husin selepas beliai membuat pengumuman akan mempertahankan jawatannya timbalan presiden, maka kontroversi sekarang tentu tidak timbul dan keikhlasan beliau untuk menyokong Dr Syed Husin mempertahankan jawatan tersebut juga lebih ikhlas dan konsisten.

Ditekankan Azmin berulang-ulang bahawa beliau menghormati dan akur kepada kehendak akar umbi agar jawatan parti dipertandingkan sebagai prinsip dan amalan demokrasi Parti Keadilan Rakyat. Pandangan mereka yang menganggap pertandingan akan memecah belahkan parti telah dibidas sebagai "orang-orang yang dayus dan tidak mampu berdepan dengan demokrasi itu sendiri".

Hentikan politiking

Jika prinsip dan amalan pilihan bebas itu yang dipegang oleh Azmin, maka beliau sepatutnya tidak memohon agar Syed Husin (foto) diberi sokongan kuat, dan beliau juga tidak perlu membuat pengumuman menarik diri daripada pertandingan timbalan presiden seperti yang beliau lakukan. Biarlah saja perwakilan parti yang membuat pilihan dalam kongres Mei nanti.

Beliau cuba meyakinkan semua pihak bahawa pencalonan yang beliau terima adalah bersandarkan prestasi dan rekod kerja, bukan kerana kedudukan beliau sebagai bekas setiausaha sulit bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kini Azmin amat pantang hubungan beliau dengan Anwar (foto)dianggap sebagai 'setiausaha dengan bos', kerana persepsi tersebut akan mengerdilkan keterserlahan beliau sebagai orang nombor dua parti di sisi Anwar, terutamanya jika dibandingkan dengan ketokohan Dr Syed Husin.

Padahal tidak sukar bagi sesiapa yang cerah politik dan bersikap rasional untuk membuat kesimpulan bahawa gandingan Anwar-Dr Syed Husin jauh lebih berwibawa berbanding dengan gandingan Anwar-Azmin, terutamanya dari segi ketokohan dan pengaruh.

Azmin juga wajib mengamalkan hujahan beliau bahawa agenda besar parti mestilah mengatasi kepentingan peribadi, hubungan peribadi dan perasaan individu.

Mesti diakui bahawa peranan Dr Syed Husin tidak dapat digantikan oleh Azmin, malah Anwar sekalipun, jika gerakan reformasi yang tuntas dan inklusif masih merupakan agenda besar Parti Keadilan Rakyat.

Rasanya tibalah masanya untuk Azmin menghentikan 'politiking' yang negatif demi agenda besar parti dan rakyat.