Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, hari ini menitahkan Ismail Lasim meneruskan tugas sebagai menteri besar.

Ismail turut menafikan dia mengemukakan surat peletakan jawatan kepada baginda atau membenarkan penyerahannya. Penjelasan itu menyusuli pengumuman Barisan Nasional (BN) mengenai peletakan jawatannya.

"Saya ingin menjelaskan berhubung laporan mengenai surat peletakan jawatan menteri besar Negeri Sembilan yang bertarikh 16 Nov 2026, saya tidak ada mengemukakan mahupun memberikan persetujuan untuk surat tersebut dikemukakan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

"Saya tak setuju surat ini dihantar dan saya pun tak hantar sendiri surat kepada Tuanku. Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah menitahkan dalam perjumpaan sesi menghadap tadi agar saya meneruskan khidmat dan tanggungjawab sebagai menteri besar Negeri Sembilan demi memastikan kesinambungan pentadbiran serta kepentingan rakyat dan negeri ini terpelihara," katanya pada sidang media di kediaman rasminya di Seremban, hari ini.

Adun Juasseh itu juga menegaskan dia akan terus melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya dengan penuh komitmen dan dedikasi.

"Yang penting untuk hari ini, saya kekal setia kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, saya terus menjalankan tugas menteri besar," katanya.

Terdahulu, Ismail, 67 tiba di Istana Hinggap, Seremban, pada 10.17 pagi untuk menghadap Tuanku Muhriz susulan kemelut pentadbiran negeri.

Baginda berangkat tiba kira-kira 9.30 pagi, diikuti ketibaan tiga pembesar adat Negeri Sembilan, Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid, Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Azrin Khairi.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abd Kadir sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan Ismail ada 16 November.

Menurut Zambry, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menerima salinan surat peletakan jawatan bertarikh hari sama yang ditujukan kepada Tuanku Muhriz dan akan mengemukakan cadangan calon pengganti kepada baginda.

Bagaimanapun, Malaysiakini pada 17 November melaporkan dakwaan seorang sumber yang menafikan Ismail meletak jawatan atau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada istana.

Pada hari sama, Istana Negeri Sembilan memaklumkan kesahihan surat tersebut masih belum disahkan.

Istana turut menegaskan peletakan jawatan menteri besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Ismail sebelum ini menghadap baginda di Istana Hinggap pada 17 November, dengan sesi berkenaan berlangsung dari kira-kira 5 hingga 6.30 petang.

Pada 18 November, media tempatan melaporkan Tuanku Muhriz menitahkan Ismail meneruskan tugas seperti biasa berdasarkan hasil pertemuan itu. Ketika laporan berkenaan diterbitkan, pihak istana belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan pertemuan tersebut.

Ismail mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada 2 Ogos lalu selepas BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala Perikatan Nasional memperoleh tujuh kerusi pada pilihan raya negeri ke-16. Kemenangan itu membolehkan kedua-dua gabungan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.