'BN tak perlu tunggu PRU jika dah tak sokong Madani'
WAWANCARA | Presiden Amanah Mohamad Sabu mengusulkan supaya BN keluar daripada kerajaan perpaduan sekarang dan bukannya menunggu sehingga PRU akan datang berdasarkan kepada suasana tegang yang semakin memuncak antara gabungan itu dengan PH.
Perkara itu dibangkitkan hanya beberapa hari sebelum ulang tahun keempat kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim yang dibentuk susulan persetujuan antara PH dan BN untuk bekerjasama dalam sebuah pentadbiran.
Dalam satu temu bual, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata hanya mereka yang masih menyokong kepimpinan Anwar sepatutnya meraikan ulang tahun berkenaan.
"Orang yang merayakan kejayaan kerajaan Madani ni biarlah yang mendukung pemerintahan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kalau dah mereka tidak mahu mendukung pemerintahan ni, tak perlulah tunggu sehingga pilihan raya umum.
"Biar kita jelas (tidak berada dalam pihak yang sama), kita tak mahu berlawan dalam keadaan kita berkawan," katanya dalam episod terbaru audio siar Explain Sikit, Kini! terbitan KiniTV.
Ia disiarkan pagi tadi.
Temu bual itu dikendalikan Ketua Pemberita Malaysiakini, Hariz Mohd, dan dibantu Editor Malaysiakini BM, Al-Abror Mohd Yusuf.
Dah mula serang
PH dan BN bersetuju membentuk kerajaan perpaduan pada Nov 2022 susulan nasihat Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Ia berlaku selepas PRU ke-15 menyaksikan parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan memperoleh kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Parti dan gabungan lain kemudian turut menyertai pentadbiran perpaduan itu.
Bagaimanapun, hubungan PH dan BN mula keruh apabila BN enggan melanjutkan kerjasama mereka ke PRN Johor. Ketegangan semakin meningkat apabila BN menjalin pakatan dengan PN – yang kini dikuasai PAS – dalam PRN Negeri Sembilan dan Melaka.
Dalam audio siar sama, Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata sikap bermusuhan BN terhadap DAP serta desakan supaya bekas perdana menteri Najib Razak diberikan pengampunan diraja antara faktor yang menyumbang kepada keretakan hubungan itu.
Sebagai contoh, Mohamad merujuk kritikan terbaru BN terhadap Putrajaya berhubung isu pajakan tanah dan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Dia yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata BN boleh membangkitkan bantahan mereka menerusi perbincangan bersama PH selaku rakan dalam kerajaan, namun mereka sebaliknya memilih untuk melancarkan serangan terhadap DAP.
"Kita sama-sama dalam kerajaan, boleh bincanglah di situ. Tapi dah mula serang ini semua," katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/FirdausHanafiah3_311675.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.