PAS Melaka catat sejarah lepas Adun Bukit Katil dilantik jadi exco
Keputusan PRN Melaka baru-baru ini bukan sekadar menjadi simbol kerjasama erat di antara PN dan BN malah memberi makna lebih besar dan bersejarah buat PAS.
Untuk kali pertama, PAS menjadi sebahagian daripada anggota exco di Melaka.
Adun Bukit Katil, Ridzuan Sarif, hari ini merupakan seorang daripada lima muka baru yang dilantik sebagai exco negeri Melaka terbabit. Dia diberikan portfolio menjaga hal ehwal pertanian, alam sekitar dan pengurusan bencana.
Turut dilantik ialah Adun Klebang Lim Ban Hong; Adun Gadek S Nadarajah; Adun Rim Khaidhirah Abu Zahar dan Adun Ayer Molek Ridhwan Mohd Ali.
Selain itu turut dikekalkan dalam barisan exco kerajaan pimpinan Ab Rauf Yusof selaku ketua menteri ialah Adun Merlimau yang juga Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh; Adun Sungai Udang, Rais Yasin; Adun Telok Mas, Abd Razak Abd Rahman; Adun Asahan, Fairul Nizam Roslan; dan Adun Ayer Limau, Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Senarai itu menyaksikan seramai lapan Adun Umno, dan masing-masing seorang Adun daripada MCA, MIC dan PAS yang dilantik.
/file/attachments/orphans/MALACCAEXCOBM_579275.png)
Kesemua mereka mengangkat sumpah jawatan exco kerajaan negeri bagi membentuk barisan pentadbiran baru selepas PRN ke-16 berlangsung pada Sabtu lalu.
Berita Harian melaporkan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia berlangsung di Dewan Utama Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di Seri Negeri, di Ayer Keroh, hari ini.
Istiadat berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Ali Mohd Rustam itu melengkapkan pembentukan barisan pentadbiran negeri pimpinan Ab Rauf yang sekali lagi diberi kepercayaan oleh BN menjadi ketua menteri.
Pelantikan itu juga menyaksikan seorang penyandang jawatan berkenaan iaitu Adun Machap Jaya, Ngwe Hee Sem, tidak terpilih, sebaliknya digantikan oleh Lim.
Bagaimanapun pelantikan Lim juga boleh dianggap kemunculan semulanya ke jawatan itu kerana dia pernah menjadi exco Melaka pada 2014.
Pada PRN Melaka ke-16 Sabtu lalu, BN mengekalkan jumlah kerusi yang dimenangi mereka sebelum ini, iaitu 21, manakala PN tiga. Baki tiga kerusi lagi dimenangi oleh PH.
Ab Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 bagi penggal kedua pada Ahad lalu.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/RidzuanSarif1_732243.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.