Pemimpin PH tak ada grup WhatsApp ke? Mat Sabu tampil jawab kekeliruan
WAWANCARA | Perubahan-perubahan yang berlaku dalam kerajaan perpaduan akhir-akhir ini, kata Mohamad Sabu, sebenarnya sudah dapat dibaca sejak awal lagi, sekali gus apa yang ada sekarang boleh diselamatkan lagi.
Cuma, tambah Presiden Amanah merangkap Timbalan Pengerusi PH itu, mereka mengharapkan perubahan pendekatan dan tindakan itu datang daripada pemimpin tertinggi parti gabungan tersebut - Anwar Ibrahim.
Malah Mohamad yang suatu ketika dulu begitu ranggi di atas pentas ceramah memberitahu, akan ada langkah susulan diambil bagi mengimbangi apa yang sedang berlaku sekarang, sama ada dalam konteks antara parti dalam kerajaan, atau luar kerajaan.
"Bagi saya kerajaan ini boleh diselamatkan lagi, tapi pandangan sayalah, tapi saya tak beritahu di sini... (kalau diberitahu sekarang) rahsianya terbukalah," katanya semasa menjadi tetamu program audio siar terbitan KiniTV, Explain Sikit Kini, yang disiarkan hari ini.
Mohamad ditanya mengenai pendekatan PH - khususnya Amanah - yang dilihat gagal mengimbangi serangan pihak lawan dan 'kawan' sekarang.
Untuk rekod selain berdepan dengan serangan pembangkang, PH juga berdepan dengan kritikan daripada pemimpin Umno-BN ketika Umno-BN sendiri adalah sebahagian daripada kerajaan pusat.
Ia semakin agresif selepas PH mengalami kekalahan terbaru dalam siri PRN iaitu di Melaka.
Sebelum ini PH mencatat prestasi buruk dalam PRN Sabah, Johor, dan Negeri Sembilan.
Pada 16 Nov lalu seorang ahli akademik dan penyelidik berpendapat PH masih boleh bersaing dengan parti lain jika mereka mengambil tindakan yang segera dan betul untuk menyelamatkan keadaan.
/file/attachments/orphans/AimanNurSuria2fsfds_301303.jpg)
Menurut Mohd Yusri Ibrahim dari Universiti Malaysia Terengganu, dia berkeyakinan begitu kerana para pemimpin PH terdiri daripada kalangan ahli politik yang berpengalaman, “hebat-hebat semuanya” dan pada logik akal, otak masing-masing sudah berkeupayaan memandu arah gabungan tersebut.
Langkah segera yang perlu diambil, katanya, ialah membawa PH kembali menjadi suatu entiti politik yang aktif dan konstruktif.
“Majlis Presiden PH, sebagai contoh, boleh mula bermesyuarat secara mingguan.
“(Buat) Mesyuarat yang betul-betul mesyuarat, bukan sekadar one way briefing (taklimat satu hala),” katanya.
Malah pada pandangan Mohd Yusri tidak ada banyak alasan untuk badan tersebut bertemu dan bermesyuarat, apatah lagi ketika berdepan dengan situasi yang kritikal.
Jika kesuntukan masa atau sibuk, katanya, mesyuarat itu masih boleh diadakan pada jam 12 tengah malam, malah secara dalam talian seandainya perlu.
Anggap langgar etika membentuk kerajaan
Menurut Mohamad, dia yakin langkah susulan yang akan diambil akan memberi kesan namun memerlukan sedikit masa.
"Kita (PH) akan mula naratif itu dan insya-Allah boleh, tak lambat sebab manusia ni boleh berubah dalam masa yang masa yang sekejap," katanya lagi,
Ditanya mengenai kegiatan PH yang kadang-kadang dilihat tidak diselaras dengan baik walaupun kalangan anggota kabinet terdiri daripada otai, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia itu berkata, ada kekangan tertentu yang menyebabkan ia berlaku.
"Sebab pihak yang kita nak berlawan tu bermesyuarat kabinet setiap minggu [...] jadi bagaimana kita nak berlawan, kan?" katanya lagi.
Ketika ditanya jika para pemimpin PH tidak berhubung sesama sendiri atau tidak mempunyai grup WhatsApp sendiri, Mohamad berkata: "Kita akui ada kekurangan di pihak kami tapi kita sedang sedang (cuba) beransur-ansur (mengatasinya)."
Mohamad juga memberitahu para pemimpin PH masih ada berbincang namun sekarang ia akan dikerapkan lagi berbanding dulu.
Ditanya kekerapan sebelum ini, Mohamad berkata: "Jaranglah... jarang sangatlah, (tapi) sekarang memang kerap."
Puncanya, kata Ahli Parlimen Kota Raja yang pernah dibuang daerah semasa bersama PAS dulu, PH berdepan dengan naratif yang berpaksikan kepada sentimen Melayu dan Islam.
Sementara itu Mohamad berpendapat kritikan yang dibuat Umno ke atas Anwar semasa sidang parlimen sebagai sesuatu yang tidak wajar.
Misalnya dia memberikan contoh bagaimana Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, terkait dakwaan berlaku diskriminasi di kawasan BN.
"Ini kita serahlah kepada perdana menteri. Dalam keadaan sebegitu rupa berlaku kritikan bukan dalam mesyuarat (tetapi) dalam sidang parlimen.
"Ini bagi saya satu pelanggaran etika dalam membentuk kerajaan," katanya.
Explain Sikit Kini kali ini dikendalikan oleh Ketua Pemberita Malaysiakini, Hariz Mohd, dan dibantu oleh Editor Malaysiakini BM, Al-Abror Mohd Yusuf.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/FirdausHanafiahdd2ddd_949313.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.