UUM bersikap anti intelektual

       

Di bawah inisiatif dua orang intelektual tersohor dan bekas profesor di Universiti Malaya (UM), Dr Syed Husin Ali dan Dr Lim Teck Ghee, suatu kempen mansuhkan Akujanji Universiti telah dilancarkan baru-baru ini.

Dalam kempen tersebut, suatu petisyen yang ditandatangani oleh 40 profesor/bekas profesor serta pensyarah universiti telah dihantar kepada kerajaan mendesak agar Akujanji Universiti dimansuhkan dan mereka yang telah dipecat kerana enggan menandatangai Akujanji terbabit, termasuk Dr Azly Rahman dan Dr Mutiara Mohamad hendaklah diambil bertugas semula.

Petisyen tersebut menyifatkan ikrar taat setia itu sebagai satu hadangan terhadap perkembangan sihat universiti, kerana ianya menghakis hak asasi kebebasan untuk berpersatuan dan bersuara yang amat penting untuk dilindungi dan diperkuatkan jika negara mahu maju ke hadapan.

Amat dikesali ialah dalam jangka masa kempen mansuhkan Akujanji Universiti dilancarkan, pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) bukan saja tidak menyokong atau sekurang-kurangnya bersimpati dengan hasrat murni dan tindakan berani ahli-ahli akademi kita dalam mempertahankan kebebasan akademi di universiti kita, ia sebaliknya menghantar notis guaman kepada Dr Azly Rahman!

Dalam notis bertarikh 5 Julai 2007 terbabit, Dr Azly telah diberi masa empat belas hari "untuk memohon maaf secara terbuka kepada UUM" dan "menghentikan serta-merta segala penulisan fitnah dan hasutannya dalam mana-mana laman web dan mana-mana medium penyiaran yang ada".

Jika gagal melakukan apa yang dituntut, maka tindakan saman terhadap Dr Azly yang merupakan perintah injunksi bagi menghalang beliau daripada terus menulis "artikel fitnah dan menghasut terhadap UUM " akan difailkan dan beliau juga akan bertanggungjawab terhadap segala tuntutan kos yang akan ditaksirkan kemudian.

Ingkar perintah

Dr Azly padahal telah dibuang kerja oleh Jawatankuasa Tatatertib UUM mulai 8/12/04 kerana enggan menandatangani Surat Akujanji Universiti. Beliau menentang Akujanji kerana ia menyanggahi kebebasan-kebebasan asas Perlembagaan Persekutuan, khasnya artikel 10 yang menjamin:

(a) Setiap warganegara mempunyai hak kebebasan bersuara dan ekspresi;

(b) Semua warganegara mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa bersenjata;

(c) Semua warganegara mempunyai hak untuk berpersatuan.

Dr Azly menentang Akujanji khasnya fasal (viii) dan fasal (xi) yang berbunyi:

(viii) tidak akan membawa apa-apa bentuk pengaruh atau tekanan luar untuk menyokong atau memajukan tuntutan-tuntutan saya atau pegawai-pegawai lain berhubung dengan atau terhadap Universiti Utara Malaysia; dan

(xi) tidak akan ingkar perintah atau berkelakuan dengan apa-apa cara yang boleh ditafsirkan sebagai ingkar perintah.

Dr Azly dan isterinya Dr Mutiara Mohamad amat keberatan untuk memberi ikrar taat setia kepada Naib Canselor, terutamanya kepada Dr Fawzi Basri, Naib Canselor UUM masa itu kerana menurut Dr Azly, antara lain, beliau:

pernah cuba merencatkan kerjaya Dr Azly sebagai pengarah Center for Innovations in Education yang baru ditubuhkan pada masa itu;

pernah mempersoalkan saranan Dr Azly untuk menggunakan Pedagogy of The Oppressed oleh Paulo Freire sebagai buku teks bagi kursus baru yang ditawarkan;

tidak ambil berat tentang kebebasan bersuara, minat utamanya hanya untuk memperolehi manfaat politik melalui kedudukannya dalam universiti;

pernah terlibat dalam menindas pelajar UUM yang mempunyai pandangan-pandangan radikal terhadap isu-isu negara sebagai warganegara sebuah negara bebas.

Hakis kebebasan

Dengan kata lain, anggapan atau penilaian negatif beliau terhadap Dr Fawzi Basri, Naib Canselor UUM masa itu, telah menekadkan lagi pendirian beliau enggan menandatangani Akujanji yang akan menghakis kebebasan dan hak beliau dalam aktiviti akademinya kelak.

Dr Azly mrmberi tiga contoh bagaimana Akujanji boleh disalahgunakan, ia amat relevan dan meyakinkan:

(1) Umpamanya naib canselor yang ingin melaksanakan Perkhidmatan Nasional tanpa disetujui fakulti-fakulti terbabit, atau diadakan sesi-sesi kawalan-minda Biro Tata Negara yang mengingkari falsafah sejagat tentang kebebasan manusia, yang menentang amalan-amalan tersebut mungkin diambil tindakan menurut Akujanji;

(2) Andainya naib canselor tidak setuju dengan isi kandungan kursus yang diberi oleh seseorang pensyarah sains politik yang menggalakkan sensitiviti kritikal, maka arahan naib canselor untuk mengubahkan isi kandungan kursus terbabit terpaksa diakuri;

(3) Jika seorang pensyarah berasa tidak adil atau mengingkari Perlembagaan pelajar yang mengemukakan soalan dalam forum awam dikenakan tindakan penggantungan dari sesi pelajaran seperti kes Rizal Anan UUM, maka pensyarah terbabit pun tidak dibenarkan mengemukakan bantahan kerana sekatan Akujanji.

Banyak lagi contoh yang boleh diberi, kerana tujuan Surat Akujanji Universiti justeru untuk menyekat kebebasan asas pensyarah supaya status quo dapat dipelihara buat selama-lamanya.

Yang paling ditakuti tentulah pendidik radikal seperti Dr Azly yang mempercayai falsafah "Mengajar adalah tindakan subversib" (Teaching is a subversive act) .

Jika sekarang ini adalah tahun 60-an abad ke-20, Dr Azly mungkin sudah masuk ke Universiti Batu Gajah (Batu Gajah Special Camp) menjadi teman sedarjah penulis ini di bawah ISA atas dakwaan "memudaratkan keselamatan negara kita" dengan aktiviti-aktiviti "subversib" beliau, kerana pada zaman itu, tempat bagi semua "anasir subversib" (yang dicap) ialah penjara, bukan universiti!

Malaysiakini
terkini untuk anda