Bantuan tunai untuk keluarga berpendapatan rendah yang menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan dipotong lagi pada 2027, dengan pengurangan itu diimbangi oleh peningkatan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).

Data yang disediakan dalam soalan lazim Lembaga Hasil Dalam Negeri mengenai STR untuk 2027 menunjukkan bahawa bagi keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM2,500, jumlah bantuan tunai dikurangkan sehingga RM600 setahun.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan bantuan secara umumnya kekal sama hasil daripada bantuan Sara yang dinaikkan kepada RM1,800 untuk yang berpendapatan RM2,500 ke bawah.

Sebuah keluarga yang mempunyai lima anak contohnya, akan menerima RM1,600 dalam bentuk bantuan tunai STR tahun depan, berbanding RM2,200 tahun ini.

Pengecualian adalah bagi keluarga yang tidak mempunyai anak di mana bantuan tunai mereka hanya dipotong RM500, dan oleh itu akan mendapat tambahan RM100 tahun depan.

Sementara itu, keluarga yang berpendapatan antara RM2,501 dan RM5,000 sebulan akan menerima jumlah STR dan Sara yang sama seperti yang mereka terima tahun ini, dengan bantuan barangan dapur kekal pada RM1,200.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut kerajaan memotong pembayaran STR sebagai ganti kepada bantuan Sara yang lebih tinggi dengan jumlah bantuan keseluruhan kekal sama. Bantuan tunai untuk 2026 adalah RM300 kurang secara keseluruhannya berbanding 2025.