'Zalim apa? Kawasan 100% pembangkang, k'jaan tambah peruntukan RM2.2 bilion'
PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan rundingan berhubung peruntukan pembangunan kawasan (CDF) bagi ahli Parlimen pembangkang perlu diteruskan, sambil menafikan rakyat di kawasan mereka dianaktirikan.
Bagaimanapun, dia tidak memberikan jawapan muktamad sama ada kerajaan akan menggubal undang-undang bagi menjamin peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti.
Menjawab soalan tambahan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata peruntukan pembangunan untuk rakyat tidak semestinya perlu disalurkan melalui ahli Parlimen.
“Rakyat tidak dianaktirikan, kawasan tidak dianaktirikan, apakah mesti projek itu mesti melalui Parlimen? Tidak,” katanya.
/file/attachments/orphans/parlimenmalaysia14_607065.png)
Che Mohamad Zulkifly (gambar atas) bertanya sama ada kerajaan berhasrat menggubal Akta Peruntukan Sama Rata bagi melaksanakan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) mengenai pengagihan CDF tanpa mengira parti.
Manifesto PH bagi pilihan raya umum ke-15 menjanjikan CDF sama rata kepada semua ahli Parlimen, dengan dana disalurkan melalui Parlimen dan bukannya Pejabat Perdana Menteri.
Anwar berkata pertikaian berhubung perkara itu berkisar pada sebab dana tidak disalurkan melalui ahli Parlimen, bukannya sama ada kerajaan menyediakan peruntukan pembangunan untuk kawasan pembangkang.
“Dalam kawasan parti-parti kerajaan pun tidak diberi kepada Ahli Parlimen. Ahli Parlimen mengesahkan projek itu. Dana untuk pembangunan tidak diberi kepada Ahli Parlimen,” katanya.
/file/attachments/orphans/parlimen1sadfds_608616.png)
Menurutnya, kerajaan tetap meluluskan projek untuk rakyat, termasuk membaiki sekolah daif, sekolah agama, jalan kecil dan masjid.
“Jadi, mengandaikan bahawa tidak ada kelulusan dari segi peruntukan, saya tidak setuju kerana peruntukan untuk rakyat disampaikan,” katanya.
Anwar berkata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof diminta meneruskan perbincangan berhubung perkara itu, dengan menggunakan semula format persetujuan terdahulu.
“Jadi, kita gunakan format yang sama, tak payah pinda satu perkataan pun,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/04/965a422a233c0ea7f662feb01bb37e2c.jpg)
Dia menegaskan kerajaan terbuka untuk meneruskan rundingan, namun pembangkang juga perlu bersedia berbincang.
“Tak mahu runding, itu bukan masalah saya,” katanya.
Pada masa ini, peruntukan kawasan yang diwakili ahli Parlimen pembangkang diuruskan penyelaras lantikan kerajaan. Malaysiakini sebelum ini turut melaporkan penarikan balik kawalan peruntukan daripada ahli Parlimen PKR tertentu.
Anwar berkata semua kawasan Parlimen diberi pertimbangan dalam pengagihan peruntukan pembangunan dan, berdasarkan rekod kerajaan, tiada kawasan atau negeri dipinggirkan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/63c1a49a4a4a89779f0904abbc89913c.jpg)
Sebagai contoh, dia berkata peruntukan Persekutuan untuk Terengganu meningkat daripada RM6 bilion ketika pentadbiran terdahulu kepada RM8.2 bilion bagi 2027.
“Dari RM6 bilion kepada RM8.2 bilion. Ini diskriminasi apa?” katanya.
Dia turut mempersoalkan dakwaan kerajaan menindas negeri itu walaupun peruntukannya meningkat.
“Zalim apa ini? Satu kawasan yang 100 peratus sokongan pembangkang, kita tambah RM2.2 bilion. Ini memang luar biasa zalimnya,” katanya.
Che Mohamad Zulkifly kemudian mencelah dengan merujuk laporan Bernama yang menurutnya menyatakan peruntukan untuk Terengganu berjumlah RM2.1 bilion.
Perbezaan angka itu, termasuk sama ada kedua-duanya merujuk kategori peruntukan yang sama, tidak diperjelas dalam pertukaran tersebut.
Terdahulu, Anwar berkata RM123 juta diluluskan bagi 197 projek di Besut, meliputi infrastruktur, kesihatan, perumahan, pertanian, pendidikan dan tebatan banjir.
Antaranya, projek pemuliharaan Sungai Besut bernilai RM8 juta dan pembinaan sebuah klinik kesihatan bernilai RM37 juta.
Menurutnya, penentuan projek mengambil kira keutamaan pembangunan dalam belanjawan negara, perbincangan dengan kementerian dan jabatan serta input kerajaan negeri dan pejabat daerah.
Kemampuan kewangan kerajaan dan kepentingan penduduk setempat turut menjadi pertimbangan, katanya.
“Kalau Yang Berhormat kemukakan, cara baik, tentulah saya beri pertimbangan yang baik,” katanya.
Tuntutan peruntukan saksama turut disuarakan pemimpin dalam kerajaan.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan pengerusinya Gobind Singh Deo sebelum ini menggesa kerajaan menunaikan janji manifesto PH, dengan menjamin peruntukan saksama melalui undang-undang.
Malaysiakini pada 8 September melaporkan hanya Perak dan Kelantan menyediakan peruntukan pembangunan kawasan sama rata kepada Adun kerajaan dan pembangkang.
Namun, pelaksanaannya berasaskan dasar pentadbiran dan belum dijamin melalui undang-undang.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/anwar12_295747.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.