Negarakuku: Selepas bukit digunungkan
Lee Ban Chen
Ogos 16, 07
2:32pm
Negarakuku, lagu klip video ciptaan Wee Meng Chee (juga dikenali sebagai Namewee), pelajar tahun akhir Komunikasi Awam di Universiti Ming Chuan Taiwan untuk menghibur dan mengharumkan nama, tiba-tiba digemparkan sebagai menghina lagu kebangsaan, Negaraku, memperlekehkan umat Islam serta menyindir anggota polis dan kakitangan kerajaan, malah mengkhianati negara yang harus diambil tindakan tegas dan keras.

Tak sangka begitu ramai pemimpin Umno yang berlumba-lumba untuk memberi kecaman dan tekanan terhadap Meng Chee, ada yang mendesaknya supaya dia meminta maaf secara terbuka, ada yang ingin beliau ditahan di bawah ISA, ada yang mahu pasportnya ditarikbalik, malah ada yang sebut tentang keganasan dan peristiwa 13 Mei.

Rasanya mereka nekad benar hendak mengorbankan Meng Chee dalam perang siber yang dilancarkan Umno/BN baru-baru ini untuk menindas dan menakut-nakutkan blogger-blogger bebas yang berani menentang mereka, termasuk Tian Chua, Nathaniel Tan dan Raja Petra Kamarudin yang masih diganggu dan disasari.
Sebelum melanjutkan ulasan, saya fikir Meng Chee perlu diberi peluang untuk memberi jawapan dan mempertahankan dirinya berkaitan klip video lagu Negarakuku ciptaannya yang sudah dilayari oleh lebih setengah juta pengguna siber di lamanweb YouTube dan telah menimbulkan kontroversi yang begitu besar sekali.

Pada 7 Ogos 2007, Meng Chee telah mengeluarkan suatu kenyataan akhbar kepada semua media utama di negara kita untuk memperbetulkan kesilapan liputan Harian Metro yang menuduh klip videonya sebagai menghina negara, bangsa, Islam dan kerajaan.

Antara lain, Meng Chee telah menegaskan bahawa:

1. Melodi dan lirik lagu Negaraku lengkap seperti asalnya, ia tidak pernah diubah. Meng Chee hanya menggunakan kaedah "sampling" untuk mengolah lirik baru dan dipersembahkan secara R&B, ciptaan cara ini tidak berniat jahat dan juga tidak asing di kalangan peminat muzik.

2. Meng Chee menggunakan kemahiran rap untuk "bernaratif" , bukan untuk "mengkritik", pendengar boleh membuat penilaian dan tafsiran masing-masing. Katanya, apa yang dinyanyikan kebanyakannya berasaskan kepada pengalaman dirinya atau kawan-kawannya, misalnya pelajar Cina sukar mendapat tawaran dari universiti tempatan.

3. Diulangi Meng Chee lagi bahawa dia padahal menghormati semua agama. Berkaitan lirik mengenai pelaung azan yang "lari melodi"(out of tune) dan "serak suara" seperti "kokok ayam", ia semata-mata bahasa hiasan yang "humor" untuk menggambarkan kelemahan persembahan terbabit.

4. Akibat laporan media yang tidak objektif, keselamatan Meng Chee dan keluarganya telah terancam, dalam ruang perbincangan laman web YouTube umpamanya, ada yang mengancam hendak membunuhnya dan membakar rumah keluarganya. Meng Chee juga takut akan kehilangan kawan-kawan Melayunya dari kecil lagi kerana salahfaham.

5. Menafikan tuduhan setengah media bahawa lagu ciptaannya berniat untuk menghasut kaumnya. Ia menegaskan tujuan ciptaannya semata-mata untuk menghibur, sebaliknya laporan setengah media yang subjektif dan tidak profesional itu dianggapnya sebagai bersifat hasutan dalam erti kata sebenar. Meng Chee harap media terbabit dapat membuat penjelasan demi keselamatannya dan ahli keluarganya.

6. Disarankan lirik lagu ciptaannya dialihbahasa ke dalam bahasa Melayu, kerana kaum Melayu juga berhak untuk mengetahui isi kandungan sebenarnya, lalu dibuat penilaian dan tafsiran sendiri ,sama ada atau tidak ciptaan Meng Chee itu menghina negara, bangsa, agama dan kerajaan. Dengan demikian, barulah adil kepada Meng Chee, masyarakat Melayu, masyarakat Cina dan setiap rakyat Malaysia.(Lirik lagu ciptaan Meng Chee telahpun dialihbahasa ke dalam bahasa Melayu, sila layari http://namewee.blogspot.com/) .

Laporan media

Hairan sekali penjelasan Meng Chee yang ikhlas dan dapat menghilangkan setengah salahfaham ekoran laporan media yang tidak objektif dan professional itu langsung tidak dilayan oleh media berbahasa Melayu, khasnya Harian Metro dan Utusan Malaysia yang telah membuat tuduhan yang berprasangsa dan berbaur hasutan.

Berasaskan laporan-laporan berprasangka dan berbaur hasutan itu, pemimpin-pemimpin Umno pula secara tergesa-gesa dan nekad hendak menghukum Meng Chee demi kepentingan agenda politik perkauman mereka. Agar adil kepada semua pihak, saya perturunkan bahagian-bahagian lirik yang dipertikaikan untuk memudahkan perbincangan kita.

(A) Lirik mengenai polis yang rasuah

Polis kita panggil "mata" (disebut dalam Hokkien)
Ini kerana mata mereka sangat tajam
Semasa hari raya mereka amat rajin
Pena di tangan tetapi jarang bagi saman
Ini kerana mereka dahaga hendak minum teh
Atau kopi 0 yang tambah gula atau tidak
Jika tambah gula, senyumnya lagi manis
Bila engkau nak pergi
Dia akan ucapkan "tata" (selamat tinggal)

Gajala ini tidak perlu diperbaiki
kerjasama polis dan rakyat pun tidak perlu diperkuatkan
Secawan kopi sudah mencukupi bagi mempereratkan hubungan
Aku amat suka
Sekurang-kurangnya balik rumah tidak akan terima saman
(jika terima) ayah mesti geram
Saya mesti kena marah dan tiada kereta untuk saya pakai
Kali ini (tentu) amat teruk
Tak ada kereta macam mana aku nak keluar main
Tak ada kereta macam mana aku nak lakukan "perang liar" (berasmara di luar?)
Tak ada kereta macam mana aku nak tengok "ah kua" (pondan?)

Gejala memberi dan menerima "duit kopi" sebagai kerjasama rakyat-polis memang amalan lumrah di negara kita. Meng Chee "bernaratif" tentang sesuatu fakta yang lumrah berlaku, jika ada pihak yang memberi tafsiran bahawa polis yang menerima "duit kopi" telah disindir, itulah tafsirannya. Sekalipun Meng Chee bertujuan untuk menyindir, apakah salahnya menyindir sesuatu yang patut disindir, seperti amalan rasuah?

Tujuan Meng Chee mungkin melalui contoh peribadinya untuk mendedahkan "rasional" kenapa kebanyakan pemandu lebih rela memberi "duit kopi" daripada kena saman. Perlu ditekankan juga bahawa amalan rasuah tidak wajar dikaitkan dengan identiti kaum, kerana ia adalah masalah akhlak atau etika, tidak kena-mengena dengan identiti kaum.

Lirik lagu

(A) Lirik mengenai azan

Negara ini aku amat suka
Pukul 5 pagi
Ada "morning call" akan suruh aku bangun
Kadang-kadang beberapa (majlis) melaungkan azan pada masa yang sama
Macam duet lagu cinta
Balas membalas ala R&B
Walaupun kadang kala "lari melodi"nya
Walaupun kadang kala "serak suara"nya
Seperti kokok ayam tetapi bangun lebih awal
Berkat ini kita dapat bersiap sedia untuk ke sekolah dan kerja

Meng Chee telah mempertahankan diri seperti tersebut di atas (merujuk kepada perkara 3 kenyataan Meng Chee) . Namun tidak dapat dinafikan, di negara kita, cuba "humor" atau "bergurau" dengan amalan agama (azan dalam kes ini) adalah sesuatu yang amat tidak bijaksana dan tidak diingini, memandangkan isu agama kini telah menjadi begitu sensitif sekali.

Namun, nampaknya Meng Chee yang anggap azan subuh sebagai "morning call" itu juga bukan sengaja hendak menyinggung perasaan/ sentimen orang Muslim, hanya kurang sensitif dalam perkara ini. Yang diperlukan mungkin nasihat atau kritikan, bukan ancaman bunuh dan membakar rumah.

Di samping itu , patut juga diambil kira bahawa bagi orang bukan-Muslim, azan subuh mungkin mengganggu kelenaan tidur mereka, jika mereka tidak puas hati dalam perkara ini, malah ada yang merunggut atau membantah, juga sesuatu yang mudah difaham dan patut ditoleransi.

(C) Lirik mengenai sikap anti-kerajaan

Jangan salahkan kerajaan hanya jaga kaum Bumiputera
Jangan salahkan kami tidak dapat layanan yang adil
Macam ini baru dapat menunjukkan orang Cina sanggup menderita
Macam ini baru kita dapat menghadapi kesulitan dan mara ke depan
Jangan mengatakan ukuran (dasar?) ini amat pelik
Budak yang tidak dimanjakan baru dapat menjadi tabah
Ada orang sampai sekarang masih belum berhenti disusui

Sistem demokrasi

Ini padahal suara hati bukan-Bumiputera yang tipikal dan ikhlas, jika ia boleh dianggap sebagai anti-kerajaan, maka rasanya tiada bukan-Bumiputera yang tidak anti-kerajaan! Lagipun apa salahnya anti-kerajaan, bukankah anti-kerajaan atau pro-kerajaan kedua-duanya hak rakyat dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi?

(d) Lirik mengenai imej buruk kakitangan kerajaan

Kakitangan kerajaan lagi teruk
Buat apapun perlahan-lahan
Yang beratur sudah sumpah seranah
Mereka masih indah tak indah
Kadang kala kuih pun berani mereka keluarkan
Dia makan dia punya kuih
Kau terus dibiarkan beratur
Sumpah seranah buat tak dengar
"Guard" ditepi tengah bermimpi
Kau tidak akan dilayani

Imej kakitangan kerajaan kita memang tidak baik selama ini, jika cerita seperti ini hendak dijadikan isu, maka dengan senang saja kamu dapat temui ratusan bahkan ribuan cerita atau runggutan rakyak seumpama itu di mana-mana kedai kopi pun, takkan mulut mereka boleh disumbat?

(E) Lirik mengenai mereka yang memakai tudung

Mereka yang memakai tudung perlahan-lahan melintas jalan
Engkau yang memandu kenalah berhati-hati
Asalkan hidup dengan gembira asalkan hidup dengan selesa
Jangan macam orang Cina
Setiap hari bertungkus lumus dengan susah payah
Semangat ini mesti kita kagumi
Kerana ini adalah sikap hidup mereka
Sikap sikap

Sentuh saja "tudung", secara automatik ia dikaitkan dengan agama dan menjadi sensitif. Dalam bait ini, Meng Chee sebenarnya mengagumi cara hidup orang Melayu yang "perlahan" "gembira" dan "selesa" , dan tidak setuju dengan cara hidup orang Cina yang "setiap hari bertungkus lumus dengan susah payah".

Hak bersuara

Betul atau salah pandangan ini boleh dipertikaikan, tetapi hak Meng Chee untuk bersuara juga harus dipertahankan, bukan?

(F) Mengenai bahasa kasar dan lucah

Memang benar Meng Chee suka menggunakan caci maki rakyat bawahan yang dianggap kasar dan lucah, terutama caci maki dalam Hokkein yang menjadi buah mulut setengah rakyat yang "vulgar", "keunikan" ini mungkin untuk menonjolkan sifat "pemberontakan" anak muda terhadap sifat "elitis" setengah orang yang berpura-puraan.

Menurut lirik ciptaannya, saya petik:

Engkau suci engkau sopan
Najis kau wangi kau juga tidak caci maki
Kau amat "high class" dan "romantic" setiap hari
Dengar (lagu) Guang Liang Pin Kuan (dua penyanyi Malaysia)
Tetapi mereka sudah pergi ke Taiwan

Dari terjemahan dan analisis mengenai isi kandungan bait-bait lirik lagu Negarakuku ciptaan Meng Chee yang dipertikaikan, maka jelaslah sungguhpun lagu ciptaan Meng Chee itu ada kelemahan dan kesilapan, boleh dipertikaikan dan dikritik, namun memang tidak berasas dan tidak adil peminat muzik yang masih muda itu dituduh sebagai "amat biadab kerana telah menghina negara, agama, bangsa serta pemimpin yang banyak berjasa dengan menggunakan bahasa kasar dan lucah" (sila merujuk kepada berita Utusan Malaysia 15 Ogos 2007).

Bagaimanapun, di bawah pelbagai tekanan yang merupakan sentimen agama melampau dan kuasa politik perkauman seperti tersebut di atas, dan melalui apa yang dinamakan "mediasi" MCA yang selalu tunduk kepada kemahuan Umno, kononnya Meng Chee telah "sedar akan kesalahannya mempersendakan lagu Negaraku yang merupakan lambang kedaulatan dan martabat sebuah negara serta berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan tersebut" dan "memohon maaf secara terbuka kepada kerajaan dan rakyat Malaysia kerana mencipta lirik lagu yang menyentuh sensitiviti negara " .

Rasanya tibalah masanya tirai babak sandiwara politik perkauman - isu Negarakuku - diturunkan, tentu ditengah-tengah caci maki yang kasar dan lucah sekali di kedai-kedai kopi seluruh negara, merdeka!
Berita Terkini dalam SMS
Maxis users
- Taip SMS "BUY MKINIM" dan hantar ke "26000" (caj bulanan RM 5.00)
- Taip "BUY WMKINIM" dan hantar ke "26000" (caj mingguan RM 1.50)
Umobile users
- Taip "ON NW MKINIBM" dan hantar ke "28118" (caj bulanan RM 5.00)
 
Untuk penguna Maxis, UMobile, Digi , dapatkan berita sms
Dapatkan Mobilekini untuk membaca cerita penuh di telephone bimbit
Singkatan berita setiap hari
Email:
Bersamalah 2800+ kawan di kumpulan Facebook Malaysiakini
Ikuti berita Malaysiakini menerusi Twitter
Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner