Deutsche Bank, yang berdepan saman bernilai AS$1.11 bilion (RM4.57 bilion) di Malaysia berhubung peranannya dalam penyelewengan dana 1MDB, hanya menawarkan sebahagian kecil daripada jumlah itu bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Sumber yang mengetahui perkara itu menyifatkan tawaran Deutsche Bank sebagai terlalu rendah berbanding tuntutan 1MDB.

Tawaran rendah itu dibuat sebelum Malaysiakini melaporkan semalam bahawa Deutsche Bank sebenarnya mengetahui wujudnya ketidakteraturan dalam pengendalian transaksi 1MDB, meskipun secara terbuka menafikan sebarang salah laku.

Sumber berkenaan enggan mendedahkan jumlah sebenar tawaran itu kerana rundingan penyelesaian masih tertakluk kepada kerahsiaan. Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan jumlah yang ditawarkan hanya sebahagian kecil daripada tuntutan asal.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB, Johari Abdul Ghani, ketika dihubungi berkata Malaysia sedang meneliti dokumen bocor yang diterbitkan oleh Malaysiakini.

"Kami dimaklumkan mengenai laporan dan dokumen yang dirujuk dalam artikel berkenaan. Dokumen serta maklumat itu akan diteliti dengan cermat oleh pihak berkaitan, termasuk pasukan guaman 1MDB," kata Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Johari berkata rundingan penyelesaian antara 1MDB dengan Deutsche Bank masih berlangsung dan perkara itu masih dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Justeru, katanya, pasukan petugas itu tidak dapat mengulas secara terperinci mengenai perkara berkenaan buat masa ini.

"Rundingan itu juga tertakluk kepada syarat kerahsiaan yang perlu kita hormati bagi mengelakkan kedudukan Malaysia terjejas," katanya.

'Kerajaan komited capai penyelesaian adil'

"Kerajaan kekal komited untuk menangani isu 1MDB secara telus dan memastikan penyelesaian yang adil demi kepentingan rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Antara perkara yang ditanyakan Malaysiakini ialah sama ada 1MDB masih akan mempertimbangkan tawaran penyelesaian Deutsche Bank ketika ini susulan pendedahan maklumat terbaru.

Sebelum ini, Deutsche Bank mendakwa pihaknya menjadi mangsa yang diperdaya oleh pegawai 1MDB yang bertindak di luar batas undang-undang.

Bagaimanapun, dokumen yang dibocorkan menunjukkan siasatan dalaman bank itu sendiri menemukan beberapa ketidakteraturan dan pelanggaran dasar.

Pendedahan itu merupakan sebahagian daripada siasatan "Inside Deutsche Bank" yang meneliti lebih 15 juta dokumen bocor milik bank berkenaan. Dokumen itu dikongsi dengan gabungan wartawan penyiasatan dari pelbagai organisasi media, termasuk Malaysiakini.

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan bahawa Deutsche Bank dan 1MDB sedang mengadakan rundingan untuk menyelesaikan saman berkenaan.

Bank yakin dengan kedudukannya

Dalam maklum balas kepada Malaysiakini, Deutsche Bank menyatakan keyakinan terhadap kedudukannya dalam kes itu.

"Kami kekal yakin dengan kedudukan kami dalam kes ini berdasarkan fakta khusus yang membezakan kami daripada defendan lain, selain perkembangan terbaru dalam kes seumpamanya yang masih berjalan dan membabitkan pihak lain.

"Sebarang kemungkinan penyelesaian perlu mengambil kira perkara ini," katanya.

1MDB menyaman Deutsche Bank berhubung pengendalian dana AS$1.11 bilion untuk usaha sama dengan PetroSaudi International yang akhirnya diselewengkan.

Bagi membiayai usaha sama itu, 1MDB pada 30 September 2009 meminta Deutsche Bank menukarkan AS$1 bilion daripada ringgit Malaysia sebelum memindahkan wang tersebut ke akaun 1MDB-Petrosaudi Ltd, syarikat yang ditubuhkan untuk usaha sama berkenaan.

Bagaimanapun, hanya AS$300 juta dimasukkan ke dalam akaun usaha sama itu di JP Morgan. Baki AS$700 juta pula dipindahkan ke akaun Good Star Limited yang dikawal ahli perniagaan Low Taek Jho.

Low, yang mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, merupakan individu yang merancang rangkaian transaksi kewangan rumit sehingga membolehkan dana 1MDB diselewengkan. Dia kini masih diburu pihak berkuasa.

Pada 27 Mei 2011, Deutsche Bank sekali lagi membantu 1MDB menukarkan AS$110 juta untuk usaha sama berkenaan, tetapi wang itu sekali lagi dipindahkan ke akaun Good Star.

Ketidakteraturan dalam laporan kepada Bank Negara

Dalam kedua-dua transaksi itu, Deutsche Bank mengenal pasti ketidakteraturan dalam pelaporan bank berkenaan kepada Bank Negara Malaysia menerusi Sistem Maklumat Transaksi Antarabangsa (ITIS).

Perkara itu dinyatakan dalam Laporan Jenayah Kewangan Anti (Anti-Financial Crime Report) bank berkenaan bagi 2015.

Bagaimanapun, Deutsche Bank membantah pendedahan laporan itu di mahkamah.

Satu lagi dokumen dalaman bertajuk "Regulatory Reporting, Payment Controls, AML & KYC DBMB (Deutsche Bank Malaysia Berhad)" yang tidak dikemukakan bank itu kepada mahkamah, turut menemukan pelanggaran dasar dalam pengendalian urusan berkaitan ITIS.

Jho Low 1MDB generic 150324

Dokumen bocor itu juga menunjukkan Deutsche Bank membantu Low memindahkan wang di Eropah meskipun terdapat beberapa tanda amaran dan isu berpotensi.

Antaranya termasuk maklumat mengenai penglibatan Low dalam pinjaman yang diberikan bank itu kepada 1MDB pada 2014.

Dokumen bocor itu diperoleh secara sah oleh wartawan dan penulis dari India, Josy Joseph, serta wartawan penyiasatan dari Afrika Selatan, Khadija Sharife.

Dokumen berkenaan kemudian dikongsi dengan lebih 230 wartawan daripada 50 organisasi media di seluruh dunia, termasuk Malaysiakini.

Siasatan itu diselaraskan dan dikendalikan oleh Barracuda Media, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan dari Afrika Selatan.