Ada peristiwa yang sukar dilupakan walaupun sudah bertahun-tahun berlalu.

Bekas anggota jawatankuasa pemandu Bersih, Mandeep Singh, mengimbas kembali kejadian 10 tahun lalu apabila dia dan pengerusi Bersih ketika itu, Maria Chin Abdullah, berdepan tindakan pihak berkuasa semasa pentadbiran Najib Razak.

Selepas sedekad, nasib kedua-dua individu itu berubah sama sekali.

Mandeep kini bertugas sebagai pembantu kepada Pengerusi DAP yang juga Menteri Digital, Gobind Singh Deo. Najib pula yang pernah menjadi perdana menteri kini menjalani hukuman penjara.

Dalam hantaran Facebook, Mandeep berkata polis menyerbu pejabat Bersih di Petaling Jaya pada 18 November 2016, sehari sebelum perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur.

Perhimpunan itu diadakan bagi membantah kerajaan pimpinan Najib yang ketika itu semakin tertekan susulan pelbagai isu, termasuk skandal 1MDB. Pada masa sama, rakyat turut mendesak supaya pilihan raya lebih bersih dan adil.

Antara tuntutan utama peserta ialah supaya Najib meletakkan jawatan.

"Setiap inci pejabat kami diperiksa dan kesemua dokumen digeledah. Berkotak-kotak dokumen dirampas.

"Maria Chin Abdullah dan saya ditangkap di pejabat Bersih, kemudian dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk proses tangkapan. Mesejnya jelas ketika itu. Mereka mahu menggagalkan himpunan Bersih 5,” katanya.

Mandeep direman di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan merusuh, manakala Maria ditahan selama 10 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Tindakan polis itu tidak menghalang orang ramai daripada menyertai perhimpunan berkenaan. Ribuan peserta tetap turun ke jalan raya di Kuala Lumpur pada keesokan harinya dengan berpakaian kuning.

"Pada 19 November 2016, lautan baju kuning membanjiri Kuala Lumpur. Dunia menyaksikan sendiri bagaimana rakyat tetap turun berhimpun, waima tangkapan sudah bermula sehari sebelumnya.

"Segala cubaan kerajaan Najib Razak untuk menakutkan rakyat gagal. Pada 9 Mei 2018, rakyat menang di peti undi. Najib kemudiannya didakwa, disabitkan bersalah dan dipenjarakan dalam kes SRC International," ujarnya.

Kuasa rakyat

Sempena ulang tahun ke-20 Bersih, Mandeep berkata kekuatan Bersih terletak pada keupayaannya menggerakkan rkyat untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

"Di jalan raya, kuasa rakyat terserlah apabila ribuan orang turun menyatakan tuntutan yang sama. Di peti undi, rakyat menggunakan kuasa itu untuk menentukan siapa yang mentadbir negara.

"Kepada rakan-rakan sekretariat yang bekerja di belakang tabir, kepada semua yang pernah turun berhimpun, dan kepada kalian yang menyokong perjuangan ini dengan cara masing-masing, terima kasih. Sejarah Bersih ialah sejarah kalian juga,” katanya.

Mandeep turut menyampaikan satu pesanan terakhir kepada bekas perdana menteri itu yang kini menjalani hukuman di bawah tahanan rumah.

"Dan kepada Najib Razak, saya ulang. Kamu tetap seorang penjenayah yang telah disabitkan kesalahan," katanya.