Umno hari ini mengkritik Tony Pua susulan tindakan bekas ahli parlimen DAP itu menyiarkan salinan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan terkait perintah tahanan rumah terhadap Najib Razak.

Dokumen itu - yang asalnya berstatus rahsia - sudah dinyahklasifikasikan.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, menuduh Pua menghina Yang di-Pertuan Agong serta sengaja mencetuskan perdebatan awam berhubung kuasa prerogatif baginda untuk memberikan pengampunan.

Malah Asyraf Wajdi mendakwa Pua "memperalatkan pengampunan diraja" itu sekali gus tidak menghormati institusi raja berpelembagaan.

"Segala urusan dan dokumen yang berkaitan dengan prosiding lembaga pengampunan sewajarnya diuruskan dengan penuh cermat, kerahsiaan dan penghormatan terhadap kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong.

"⁠Persoalan utama yang perlu dijawab ialah, adakah penyahklasifikasian dan pendedahan minit mesyuarat tersebut telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong?" tanya Asyraf Wajdi.

Dia yang juga Pengerusi Mara menambah, walaupun terdapat proses penyahklasifikasian dokumen, Umno berpandangan perkara yang menyentuh secara langsung prosiding yang dipengerusikan oleh Agong sewajarnya dirujuk dulu kepada baginda untuk mendapatkan perkenan.

Katanya, Umno melihat penularan minit mesyuarat itu adalah penghinaan dan hasutan yang disengajakan untuk membuka perdebatan dan polemik "mempersoalkan, menghina dan meremeh" kuasa prerogatif Agong.

"⁠Nampaknya Pua berterusan memperalatkan prosiding pengampunan diraja sebagai bahan perbalahan politik dan langsung tidak menghormati kemuliaan institusi raja berperlembagaan.

"⁠Sehubungan itu, Umno mendesak kerajaan memberikan penjelasan segera tentang proses, asas perundangan dan pihak yang meluluskan penyahklasifikasian minit mesyuarat tersebut, termasuk sama ada perkenan Seri Paduka Baginda diperoleh (atau tidak)," katanya.

Persoalan asas kuasa

Terdahulu Pua memuat naik beberapa imej didakwa memaparkan petikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 Sept di Facebook.

Dalam hantaran itu, Pua berkata minit berkenaan menunjukkan Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan kepada Najib walaupun bertentangan dengan nasihat peguam negara dan pendirian rasmi kerajaan.

Bekas Ahli Parlimen Damansara itu turut mendakwa dokumen berkenaan menunjukkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh pada mulanya enggan menandatanganinya, namun akhirnya akur selepas diarahkan oleh baginda.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said menggesa pihak berkuasa memberikan penjelasan rasmi berhubung penyahklasifikasian minit mesyuarat tersebut.

Antara lain, dia meminta penjelasan mengenai sebab dokumen itu dinyahklasifikasikan serta asas kuasa untuk meluluskan tindakan berkenaan.

"Adakah minit berkenaan telah dikelaskan semula secara rasmi? Jika ya, bilakah keputusan tersebut dibuat dan siapakah yang membuatnya?

"Apakah asas kuasa yang digunakan, tatacara yang dipatuhi dan tujuan pengelasan semula itu?

"Adakah salinan yang beredar sepadan dengan rekod rasmi? Adakah pengelasan semula itu meliputi keseluruhan minit, termasuk lampiran berkaitan atau hanya bahagian tertentu?" katanya.