Malaysia akan menyemak fail bocor yang memperincikan pengendalian transaksi oleh Deutsche Bank yang dikaitkan dengan dana 1MDB, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani.

Bagaimanapun, Johari, yang juga mempengerusikan pasukan petugas pemulihan aset 1MDB, memberitahu Reuters bahawa terlalu awal untuk mengulas mengenai pendirian Malaysia terhadap Deutsche Bank memandangkan kes mahkamah terhadap bank itu masih berjalan.

"Malaysia telah mengambil dan akan terus mengambil tindakan terhadap bank-bank antarabangsa yang kami percaya gagal menjalankan semakan usaha wajar pelanggan berhubung pergerakan dana 1MDB oleh Low (Taek Jho), sekutunya dan/atau proksinya," katanya yang dipetik sebagai berkata.

Kenyataannya itu susulan pendedahan bertajuk "Bongkar Deutsche Bank” yang melaporkan lebih 15 juta fail bocor yang mendokumentasikan aktiviti bank berkenaan sejak awal 2010-an.

Fail tersebut diperoleh secara sah oleh wartawan dan penulis India, Josy Joseph serta wartawan penyiasat Afrika Selatan, Khadija Sharife.

Siasatan yang diselaraskan oleh pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dari Afrika Selatan, Barracuda Media itu dikongsi dengan lebih 230 wartawan daripada lebih 50 organisasi media di seluruh dunia, termasuk Malaysiakini.

Antara penemuannya ialah bagaimana Deutsche Bank mengendalikan transaksi yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, yang menjadi dalang utama dalam skandal 1MDB.

Transaksi bernilai lebih RM770 juta

Menurut komunikasi dalaman yang bocor, Deutsche Bank memudahkan sekurang-kurangnya 24 transaksi berjumlah €172.98 juta (RM778.41 juta) yang dikaitkan dengan Low melalui perkhidmatan perbankan korespondennya.

Dua belas daripada transaksi ini, yang berjumlah €21.61 juta (RM97.25 juta), berlaku antara 24 Jun dan 18 Disember 2015, beberapa bulan selepas isu itu dibangkitkan di Parlimen Malaysia dan Low secara terbuka menafikan dakwaan pengubahan wang haram sebagai bermotifkan politik.

Bank itu hanya menyemak semula peranannya dalam memindahkan dana berkenaan lima tahun selepas transaksi tersebut berlaku, susulan laporan Financial Times pada Mac 2020 yang mengaitkannya dalam membantu Low.

Ketika dihubungi, Deutsche Bank menegaskan bahawa peristiwa di Malaysia tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana transaksi yang mungkin diproses atas kapasitinya sebagai perantara perbankan koresponden euro.

“Dakwaan yang dibuat oleh 1MDB dalam prosiding sivil di Malaysia melibatkan entiti Deutsche Bank yang berbeza.

“Kami menolak sebarang percubaan untuk mencampuradukkan perkara yang berasingan,” katanya tanpa mengulas secara langsung mengenai pengendalian transaksi yang dikaitkan dengan Low sebagai bank koresponden.

Saman

Pada 7 Mei 2021, 1MDB memfailkan saman bernilai AS$1.83 bilion terhadap Deutsche Bank dan enam defendan lain atas dakwaan pecah kontrak, kecuaian dan konspirasi jenayah dalam penyelewengan dananya.

Ia mendakwa kesemua defendan berkonspirasi untuk menipu 1MDB dan memberikan bantuan secara tidak jujur sehingga menyebabkan kerugian kepada syarikat itu selain menjejaskan reputasi serta nama baik 1MDB.

Bagaimanapun, pada 12 Oktober tahun ini, dilaporkan bahawa dana kekayaan negara itu sedang dalam perbincangan dengan Deutsche Bank (Malaysia) Berhad untuk menyelesaikan saman yang difailkan terhadap bank tersebut. Terma penyelesaian itu tidak didedahkan kepada umum.

“Kami memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa terdapat cadangan penyelesaian antara anak guam kami (1MDB) dan Deutsche Bank,” kata peguam Lim Chee Wee.