Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pesan Cinta: Nanti nonton AADC 2 kalian tabah ya
Diterbitkan:  Apr 25, 2016 6:00 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Mungkinkah kejadian seperti ini akan berlaku apabila tayangan gala Ada Apa Dengan Cinta ( AADC ) 2 menjengah pawagam di ibu negara esok?

Tayangan perdana AADC 2 di Yogjakarta, Indonesia semalam memang hebat. Bertempat di panggung Empire XX1, majlis itu dilaporkan berlangsung dengan meriah.

Jumlah hadirin dikatakan begitu ramai hingga menyebabkan separuh jalan terpaksa ditutup.

Di majlis itu, sejumlah artis undangan dan kru produksi AADC 2 menarik perhatian ribuan orang ramai ketika mereka melintasi karpet merah di depan bangunan berkenaan.

Sebelum barisan pelakon tiba, khalayak lebih awal menunggu dengan penuh sabar untuk menatap wajah artis kesayangan masing-masing dan suasana sekeliling pula riuh dengan teriakan tidak putus-putus.

Selepas tonton jangan sendirian

Kesibukan jalan Urip Sumoharjo atau Jalan Jogja-Solo di depan bangunan Empire XXI bermula seawal jam 5 petang (waktu tempatan) iaitu kira-kira dua setengah jam sebelum berlangsungnya tayangan perdana AADC 2 .

Untuk memberi ruang kepada hadirin dan peminat, separuh daripada jalan itu diletakkan pagar besi khusus menempatkan skrin besar.

Adinia Wirasti, Titi Kamal, Dennis Adiswara, Sissy Priscillia, Nicholas Saputra dan juga Dian Sastrowardoyo antara barisan pelakon AADC 2 yang hadir.

Selain itu, rakan artis yang turut hadir dan memberi sokongan adalah Cakra Khan, Christian Soegiono, Aryo Bayu dan Indra Birawa.

Sementara itu, wartawan sempat mengajukan soalan kepada Dian - yang memegang watak Cinta - mengenai AADC 2 .

“Kalau menonton AADC 2 ini kalian perlu tabah ya.

“Kisah ini akan menghanyutkan perasaan kamu, jadi jangan bersendirian selepas menonton, akan bertambah sedih,” ujarnya berseloroh.

Di kalangan pelakon yang hadir, Dian dan Adinia mengakui mereka sudah terlebih dulu menonton sekuel filem AADC berkenaan.

Nicholas, Titi Kamal dan Sissy Priscilia pula membiarkan perasaan teruja bersarang lebih lama dan menyaksikannya bersama hadirin lain.

“Saya belum menontonnya lagi kerana mahu berbuat demikian ketika di gala ini,” kata Nicolas yang membawa watak sebagai Rangga.

AADC 2 akan mula ditayangkan di Malaysia Khamis ini.

Lihat Komen
ADS