Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menggesa Perwakilan Umno Selangor Noorazli Said memohon maaf kerana melampaui batas apabila membuat jenaka tidak sopan membabitkan paderi dan biarawati Katolik.

Akmal berkata dia tidak berada di dalam dewan ketika Noorazli membuat jenaka itu ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 baru-baru ini.

Akmal berkata dia hanya menyedari insiden berkenaan selepas dimaklumkan oleh Malaysiakini petang ini.

"Ini melampau. Bayangkan jika orang lain guna lawak yang sama tetapi menggunakan analogi imam. Kita pun akan marah.

"Jadi tidak sepatutnya berlaku dan dia perlu mohon maaf," katanya kepada Malaysiakini.

Jenaka Noorazli itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak, termasuk Persatuan Peguam Katolik Kuala Lumpur yang merancang membuat laporan polis terhadap ketua Umno bahagian Sepang itu.

Ahli Parlimen Sabah Wilfred Madius Tangau dan anggota Majlis Penasihat Perpaduan Negara Tajuddin Rasdi turut menggesa Noorazli memohon maaf.

Wilfred menyifatkan jenaka itu sebagai "amat tidak wajar dan menghina", manakala Tajuddin menegaskan kenyataan sedemikian tidak wajar dalam negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Sebelum ini, ketika berucap di hadapan ribuan hadirin pada PAU 2026, Noorazli menceritakan kisah seorang paderi yang memandu kereta Proton Saga bertransmisi manual sebelum ternampak seorang biarawati menunggu di perhentian bas.

Paderi itu kemudian menawarkan diri untuk menghantar biarawati berkenaan pulang.

Namun, katanya, setiap kali paderi terbabit menukar gear, tangannya tersentuh paha biarawati itu dan dia membiarkan tangannya berada di situ.

Setiap kali perkara itu berlaku, biarawati berkenaan mengingatkan paderi tersebut supaya merujuk kepada ayat Mazmur ke-129, menyebabkan paderi terbabit menarik semula tangannya.

Sebaik tiba di rumah, kata Noorazli, paderi itu menyemak Bible untuk melihat apa sebenarnya yang terkandung dalam ayat yang dipetik biarawati berkenaan, dan dia terkejut.

“Tuan-tuan nak tahu apa Surah Mazmur ayat ke-129 ni cakap?” katanya bersahaja, “surah Mazmur ayat 129 ni dalam bahasa Inggeris dia cakap – dengan izin – go forth and seek further up and you will find glory.

“Faham ke tak faham ni? Kalau tak faham saya terjemah ke bahasa Melayu. Maksudnya: dia kata, ‘teruskan usahamu kerana semakin ke atas semakin dekatlah kamu dengan kejayaan.’

“Justeru apa yang saya nak bagitahu dari cerita ini ialahlah, we must focus (kita mesti fokus) dan kita kena tahu apa yang kita nak buat,” katanya disambut dengan ketawa orang ramai.

Ungkapan itu, yang merupakan variasi daripada jenaka yang kadangkala dikongsi dalam kalangan penganut Kristian, sebenarnya tidak terkandung dalam ayat ke-129 Mazmur.

Noorazli, yang juga Bendahari Umno Selangor, kemudian menjelaskan bahawa cerita itu dikisahkan bagi menyampaikan mesej mengenai kepentingan anggota Umno kekal fokus dan mengetahui matlamat yang ingin dicapai.