Bekas menteri agama Jamil Khir Baharom berkata keputusan mengikat hotel untuk tempoh panjang ketika menguruskan Tabung Haji dibuat bagi mendapatkan harga terbaik, sekali gus mengurangkan kos haji.

Bercakap kepada pemberita selepas didakwa di mahkamah hari ini, bekas pemimpin Umno itu berkata penginapan merupakan antara perkara penting dalam urusan jemaah haji.

“Penginapan ini saya mengambil pendekatan pada waktu dahulu untuk kita lock (ikat) hotel-hotel dalam tempoh jangka waktu yang panjang, supaya kita mendapat pulangan harga atau lock harga terbaik untuk mengurangkan kos haji,” katanya.

Jamil berkata pertuduhan terhadapnya berkaitan sewaan hotel Tabung Haji itu adalah pengakhiran kepada perjalanan panjang kes berkaitan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang bermula sejak 2018 hingga pengumuman rasmi mengenainya.

“Bagaimanapun, hari ini merupakan pertuduhan yang dibuat. Saya akan membela diri saya dalam mahkamah nanti, perkara-perkara yang telah disebut dalam mahkamah.

“Jadi kita tunggu perkembangan yang lain selepas daripada ini,” katanya.

Jamil hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan secara tidak jujur menyebabkan Lembaga Tabung Haji melupuskan wang berjumlah RM860,308,770.51 kepada sebuah syarikat berkaitan hartanah.

Jamil didakwa melakukan kesalahan itu secara tidak jujur melibatkan syarikat Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd. di Putrajaya pada 3 April 2015, 14 Disember 2016 dan 17 Ogos 2017.

Dia mengaku tidak bersalah.

Jamil merupakan individu keempat yang dituduh berhubung skandal Tabung Haji berikutan penerbitan laporan RCI.

Lawan tetap lawan? Jamil ketawa sebelum jawab

Sementara itu, ditanya sama ada pertuduhan itu merupakan peluang untuk membersihkan namanya, Jamil berkata dia mahu berbuat demikian di mahkamah.

“Saya ingin pakai dia punya (soalan), untuk bersihkan nama di peringkat mahkamah. Ini (mahkamah) adalah tempat yang terbaik untuk mendapatkan keadilan,” katanya.

“Saya meyakini Insya-Allah mahkamah akan memberikan keadilan yang terbaik,” tambahnya.

Ketika ditanya sama ada dia akan “lawan tetap lawan”, Jamil ketawa sebelum berkata:

“Bila masuk mahkamah sudah tentu akan balas hujah dan sebagainya.”

Menurut laporan RCI, Tabung Haji memeterai pajakan jangka panjang bagi empat hotel di Makkah dan Madinah dengan Al-Rawda serta melantik syarikat itu sebagai pengendali.

Di bawah perjanjian berkenaan, Al-Rawda sepatutnya membayar hasil sewaan berjumlah 2.49 bilion riyal Saudi kepada Tabung Haji.

Bagaimanapun, pada Mac 2019, Al-Rawda gagal membuat bayaran sewa, menyebabkan tunggakan terkumpul mencecah 560.7 juta riyal Saudi setakat Disember 2021.

Susulan itu, Tabung Haji menguatkuasakan nota janji yang dikeluarkan Al-Rawda melalui mahkamah di Arab Saudi dan memperoleh perintah pembekuan aset, selain memulakan proses pelupusan 20 hartanah milik pemilik syarikat berkenaan.

Rundingan penyelesaian kemudiannya gagal selepas Al-Rawda mencadangkan jumlah bayaran lebih rendah dan memulakan proses timbang tara dengan mendakwa perjanjian pengurusan dan operasi berkenaan tidak mematuhi syariah.

Dalam laporannya, RCI mengesyorkan audit forensik menyeluruh terhadap urus niaga berkenaan.