PAS hari ini menuntut agar kerajaan menjelaskan sebab di sebalik penangguhan permohonan pengampunan Najib Razak sehingga ke mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan datang.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata walaupun penangguhan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, langkah sedemikian, tambahnya, tidak mungkin berlaku begitu saja.

"PAS berpandangan," katanya, "penangguhan permohonan pengampunan Najib di hadapan mesyuarat lembaga pengampunan itu tidak mungkin berlaku dengan sendirinya melainkan terdapat arahan atau bantahan daripada mana-mana pihak, sama ada ahli lembaga itu sendiri atau pihak ketiga yang berkepentingan."

Justeru, tambah Ahli Parlimen Kota Bharu itu lagi, PAS menuntut supaya kerajaan segera menjelaskan perkara tersebut kepada umum.

Hal itu kerana, kata Takiyuddin, isu berkenaan melibatkan kepentingan awam yang tidak wajar disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bermesyuarat pada 11 Sept lalu dan permohonan pengampunan Najib - yang kini ditahan di Penjara Kajang atas sabitan kesalahan di mahkamah - dijadual didengar di hadapan Sultan Ibhraim.

Bagaimanapun, pada hari tersebut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri memaklumkan bahawa permohonan bekas perdana menteri itu ditangguhkan ke mesyuarat lembaga yang seterusnya.

Kenyataan itu tidak menyatakan bilakah Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan bermesyuarat sekali lagi.

Walaupun Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menggariskan rangka kerja, keanggotaan, dan kuasa lembaga tersebut, ia tidak menetapkan sebarang jadual khusus untuk anggotanya bermesyuarat.

PAS secara konsisten memperjuangkan hak mutlak institusi diraja untuk memberikan pengampunan dan keringanan hukuman termasuk dalam kes Najib.

Pada Dis tahun lalu, parti itu menggesa Putrajaya melaksanakan adendum yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, supaya Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Walaupun menghormati keputusan mahkamah tinggi yang menolak permohonan tahanan rumah Najib, PAS menegaskan bahawa titah diraja itu harus dilaksanakan segera, dengan alasan bahawa institusi diraja mempunyai budi bicara mutlak berhubung soal pengampunan dan keringanan hukuman.