Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Pemuda PAS menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang telah berkenan mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Bersih 2 pada hari semalam selasa 5 Julai 2011.

Rakyat jelata merasa bersyukur atas keperihatinan Tuanku memberi nasihat berguna kepada semua pihak. Tuanku telah berjanji akan menyampaikan segala tuntutan Bersih 2 kepada pihak kerajaan.

Pertemuan ini juga merupakan pengiktirafan Tuanku terhadap Bersih 2 untuk menuntut suatu  pilihanraya yang bersih dan adil di negara tercinta ini.

Sebelum ini Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishmuddin  Hussin telah menuduh Bersih 2 adalah pertubuhan haram, dikaitkan dengan fahaman komunis dan dituduh sebagai golongan yang mahu mencetuskan suasana huru hara dalam negara.

Atas tuduhan ini maka pihak polis telah menangkap lebih daripada 100 orang, melarang ceramah Bersih, mengeledah rumah suspek, membuat sekatan jalan raya, melarang memakai baju kuning dan lain-lain lagi.

Pemuda PAS mendesak Hishamuddin menarik balik segala tuduhan tersebut. Tuduhan ini adalah tuduhan yang serius dan telah menyebabkan suasana tidak selesa di kalangan rakyat negara ini.

Jika tuduhan ini tidak ditarik maka seolah-olah telah berlaku komplik di antara nasihat Yang di-Pertuan Agong dengan arahan Menteri Dalam Negeri. Rakyat merasa keliru terhadap masalah ini.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib Abd Razak pun telah memberi kebenaran bersyarat untuk mengadakan perhimpunan di Stadium.

Pihak Bersih 2 pun telah bersetuju dengan cadangan pihak kerajaan. Jika Menteri Dalam Negeri tidak menarik balik tuduhan terhadap Bersih 2 maka Menteri Dalam Negeri juga telah berkomplot dengan Perdana Menteri.

Semua pihak termasuk media dan pertubuhan-pertubuhan tertentu yang telah melebelkan Bersih 2 akan mengadakan perhimpunan haram hendaklah menarik balik tuduhan tersebut.

Ini kerana Jawatankusa Bersih 2 tidak perlu mendapat permit daripada pihak polis untuk mengadakan perhimpunan dalam stadium kerana kawasan tersebut adalah kawasan persendirian.

Ini telah jelas dinyatakan dalam seksyen 27A Akta Polis 1967(Akta 344). Yang perlu dipohon adalah kebenaran pemilik stadium sahaja.

Pemuda PAS Johor akan mengerahkan lebih daripada 30 ribu ahli dan penyokong untuk hadir secara beramai-ramai ke Perhimpunan Bersih 2 di stadium yang akan ditetapkan pada hari sabtu 9hb Julai 2011.

Mereka tidak perlu bimbang kerana himpunan ini bukan himpunan haram sebaliknya himpunan halal yang dilindungi oleh perkara 10 Perlembagaan Malaysia dan tidak bertentangan dengan akta polis 1967.


Penulis adalah Ketua Pemuda PAS Negeri Johor dan Pengerusi  Pemulihan Demokrasi Dan Mobilisasi Rakyat, Pemuda PAS Pusat

ADS