Keputusan menganjurkan Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tahun ini ternyata mengejutkan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) Sheikh Salman Isa Al Khalifa.

Sheikh Salman berkata beliau dimaklumkan mengenai rancangan itu menerusi panggilan telefon ketika meninggalkan GP Belgium 2026 di Litar Spa-Francorchamps, Stavelot, Belgium pada Julai lepas.

Mengimbas kembali bagaimana GP Bahrain akhirnya dibawa ke Litar Sepang tahun ini, Sheikh Salman berkata beliau menerima panggilan daripada Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Putera Salman Hamad Al Khalifa yang memaklumkan perlumbaan itu akan berlangsung di Malaysia.

“Ia sesuatu yang sangat menarik. Saya menerima panggilan telefon daripada Putera Mahkota, kalau tidak silap ketika meninggalkan Spa, dan baginda berkata, ‘Hai Salman, saya cuma mahu beritahu, Grand Prix Gulf Air Bahrain akan berlangsung tahun ini.’

“Saya kata, ‘Ya!’... ‘tetapi ia akan diadakan di Malaysia. Saya sedang dalam penerbangan, saya akan hubungi kamu apabila mendarat’,” katanya dalam temu bual bersama media antarabangsa baru-baru ini.

Sheikh Salman berkata keputusan itu pada mulanya memerlukan sedikit pertimbangan, namun hubungan erat antara Bahrain dan Malaysia serta pengalaman sebagai tuan rumah perlumbaan F1 menjadikan penganjurannya di Litar Sepang satu pilihan yang wajar.

Beliau turut memuji Malaysia dan SIC, yang pernah menjadi tuan rumah F1 dari 1999 hingga 2017, atas peranan membawa kembali perlumbaan berprestij itu ke litar ikonik berkenaan hujung minggu ini.

“Malaysia sememangnya hebat. Kita telah menyaksikan banyak perlumbaan menarik di sini sejak sekian lama,” katanya.

Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Bahrain Gulf Air dari 2 hingga 4 Okt, susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Persetujuan itu membolehkan GP Gulf Air Bahrain kekal dalam kalendar 2026 selepas perlumbaan berkenaan yang dijadualkan berlangsung awal musim ini dibatalkan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Pada Julai, Putera Salman berkata penganjuran perlumbaan itu di Sepang dapat direalisasikan dengan perkenan Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, sekali gus mencerminkan hubungan erat dan persaudaraan antara kedua-dua negara.

“Saya berbangga dapat bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Bahrain akan menganjurkan GP di Litar Sepang. Ini akan menjadi pengalaman yang cukup menarik buat peminat di seluruh dunia dan mencerminkan komitmen serta kecintaan berterusan Bahrain terhadap sukan ini,” titah Putera Salman.

Sesi kelayakan dijadual berlangsung 4 petang ini, manakala perlumbaan akan bermula 3 petang esok.

- Bernama