Seorang lagi bekas ketua menteri Sabah menyokong gesaan supaya penyanyi gospel Kristian dari Amerika Syarikat, Israel Houghton, dibenarkan mengadakan persembahan di negeri itu.

Presiden Warisan, Shafie Apdal, menyertai bekas ketua menteri Salleh Said Keruak dalam menyokong konsert berkenaan, dengan mengatakan penganut Kristian di Sabah sepatutnya bebas menghadiri acara itu, tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan.

“Sebarang kebimbangan sebenar berkaitan keselamatan hendaklah ditangani dengan pihak polis mengambil langkah sewajarnya bagi mengekalkan keamanan dan melindungi mereka yang hadir,” kata Shafie dalam kenyataan hari ini.

Houghton bersama kumpulannya, Israel & New Breed, dijadualkan mengadakan persembahan di Sabah pada akhir bulan ini.

Bagaimanapun, pendirian penyanyi itu yang didakwa berkaitan konflik Israel-Palestin mencetuskan gesaan supaya konsert berkenaan ditangguhkan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, mengesyorkan supaya konsert itu ditangguhkan atas kebimbangan berkaitan nama kumpulan berkenaan dan sokongan Houghton terhadap Israel.

Salleh sebelum ini berkata meskipun kebimbangan Jauteh wajar dipandang serius, namun faktor lain juga perlu dipertimbangkan, termasuk pengaruh Houghton dalam kalangan masyarakat Kristian di Sabah.

Keharmonian antara penganut agama

Sementara itu, Shafie berkata bantahan semata-mata tidak sepatutnya menjadi penentu untuk membatalkan acara keagamaan.

“Orang ramai berhak untuk tidak bersetuju dan menyatakan bantahan secara aman. Mereka yang mahu hadir juga berhak mendapat layanan yang adil dan dihormati,” katanya.

Dia berkata Sabah mempunyai tradisi kehidupan bersama antara masyarakat pelbagai agama yang perlu dipertahankan.

“Orang Islam, Kristian, Buddha dan penganut agama lain telah berkongsi tanah ini selama beberapa generasi. Menghormati kepercayaan satu sama lain termasuk kebebasan untuk berkumpul, berdoa, menyanyi dan menganjurkan program keagamaan dalam lingkungan undang-undang.

“Kita mesti mempertahankan tradisi itu. Keharmonian agama kita bergantung kepada memastikan setiap komuniti berasa dihormati dan selamat dalam mengamalkan kepercayaan masing-masing,” katanya.

Shafie turut menggesa semua pihak supaya mengawal diri dan saling menghormati antara satu sama lain.

Persoalan mengenai permit

Pada 28 Sept, Jauteh berkata penganjur masih belum mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan negeri walaupun telah mengiklankan tarikh, lokasi dan harga tiket acara tersebut.

Pada ketika itu, polis telah menerima dua laporan berhubung konsert berkenaan.

Persatuan Islam Sabah Bersatu dan NGO Islam Sabah turut membuat laporan polis di Lahad Datu pada 29 Sept bagi meminta permit konsert itu dikaji semula berikutan pendirian Houghton yang didakwa menyokong Israel.

Kumpulan berkenaan menegaskan bahawa bantahan mereka bukan berdasarkan faktor agama atau kaum.