BN patut singkir parti yang biadap pada Islam

Pemuda PAS menggesa pemimpin Umno, NGO Islam serta seluruh umat Islam di negara ini mempertimbangkan kembali sokongan mereka terhadap Umno dan BN dalam pilihan raya umum ke-13.

Ini berikutan kenyataan terkini daripada Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam media hari ini yang mendakwa seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya PAS melaksanakan hudud di Malaysia.

Pemuda PAS merasakan ini suatu lagi bukti kedangkalan Dr Chua dalam memahami realiti dan penghayatan agama di negara ini. Lebih malang lagi, beliau gagal dalam memahami agama Islam yang sebenarnya dalam negara ini.

Barangkali ini juga merupakan siri kegagalan oleh Umno sebagai parti Melayu beragama Islam dalam memimpin, mengajar dan mendakwah pemimpin parti komponennya terhadap ajaran Islam.

Pemuda PAS merasa kesal kerana bagaimana presiden MCA mampu mengucapkan kenyataan ini di ruang media yang terbuka tanpa nasihat dan pemantauan dari pemimpin Umno?

DPPM juga kesal kerana Umno sebagai parti teras dan tonggak dalam negara ini tidak sedikit pun bangkit menentang kenyataan biadap Presiden MCA tersebut dengan mempertahankan syariat Islam.

Dr Chua tidak berhak mendakwa sesuatu yang tidak wujud dengan teori yang tidak masuk akal. Sebaiknya beliau diam dan menutup mulut dari mengeluarkan kenyataan yang mengarut seperti ini.

Hakikatnya, pelaksanaan syariat Islam tidak ada kaitan sehingga menyebabkan majoriti rakyat hilang pekerjaan seperti yang didakwa.

Ketakutan hilangnya pekerjaan adalah suatu rekaan tanpa asas yang cuba ditiup bagi menimbulkan keresahan pada masyarakat bukan Islam.

Sepatutnya Umno bersikap tegas dan keras terhadap kenyataan pemimpin mana-mana parti komponennya yang bersikap biadap terhadap agama Islam dengan menyingkirkan mereka dari BN.

Kenyataan kasar dan biadap dari presiden MCA terhadap hudud bukan sekali diucapkan, malah telah beberapa kali disiarkan dalam media sebelum ini.

Namun sehingga sekarang tidak ada tindakan keras dibuat oleh pemimpin Umno terhadap pemimpin tersebut. Presiden MCA masih diberikan ruang dan tempat untuk bercakap apa sahaja termasuk mengkritik pelaksanaan syariat Islam.

Pemuda PAS menegaskan kenyataan Dr Chua telah mengundang kemarahan umat Islam di negara ini. Umat Islam tidak sesekali akan reda dengan penghinaan beliau terhadap agama Islam seperti ini.

Umat Islam kini semakin sedar bahawa Umno bukan lagi tempat selamat untuk berpaut buat agama Islam kerana mereka melihat Umno terlalu lemah menegur pemimpin komponen mereka yang menghina Islam, apatah lagi untuk memartabatkan agama Islam di negara ini.


RIDUAN MOHD NOR ketua penerangan Pemuda PAS.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.