Zaidi kecam DAP tapi mohon maaf dalam surat letak jawatan
Seorang pemimpin Umno Pulau Pinang yang berkhidmat sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan dilihat mengubah pendiriannya terhadap DAP, hanya beberapa hari selepas mengecam parti itu.
Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Zaidi Said ketika Perhimpunan Agung Umno pada Sabtu lalu mendakwa DAP sebuah parti rasis yang menentang agenda penyatuan Melayu antara Umno dan PAS.
Bagaimanapun, dalam surat peletakan jawatannya sebagai ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada Isnin, dia mengambil pendirian yang jauh berbeza apabila memohon maaf atas ucapannya, selain memuji barisan pemimpin DAP negeri.
Perkembangan itu berlaku ketika beberapa pihak dalam DAP mendesak kerajaan Pulau Pinang menyingkirkan Umno daripada pentadbiran negeri susulan cabaran parti itu kepada Putrajaya supaya menggugurkan DAP sebagai rakan dalam kerajaan persekutuan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/e26e203e9e045017f34391a22e324b34.jpg)
Dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Umno Sabtu lalu, Zaidi mendakwa agenda penyatuan Melayu antara Umno dan PAS menyebabkan DAP resah.
“DAP mula rasa resah, gelisah. Mereka tak boleh tengok bagaimana muafakat Melayu itu berlaku.
“Kerana apabila Melayu itu bersatu, nescaya mereka tidak akan berkuasa lagi dalam negara ini.
“Jadi apa cara sekalipun mereka akan gunakan untuk memecah-belahkan perpaduan Melayu-Islam ini,” katanya.
Dia turut menuduh DAP menyemai benih perkauman di negara ini, sambil menafikan Umno bersikap anti-Cina.
Salah faham pada DAP
Pada Isnin, Zaidi menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai ahli MBSP kepada Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang Jason H’ng Mooi Lye, sambil menyatakan kekesalan atas ucapannya.
“Saya dengan penuh rasa tanggungjawab ingin merakamkan kekesalan dan memohon maaf atas ucapan yang telah saya sampaikan.
“Saya menerima bahawa perkara tersebut merupakan satu pengajaran yang amat penting kepada diri saya bahawa pandangan dan pendirian individu perlu disampaikan dengan penuh pertimbangan, khususnya apabila seseorang itu turut memikul tanggungjawab dalam sistem pentadbiran kerajaan bersama,” katanya.
Dalam surat itu, Zaidi turut mengakui ucapannya boleh menimbulkan persepsi atau salah faham terhadap DAP, khususnya dalam konteks kerjasama dan pentadbiran kerajaan Pulau Pinang.
“Saya mengakui bahawa ruang berkenaan tidak seharusnya digunakan untuk menyampaikan pandangan yang boleh menimbulkan persepsi atau salah faham terhadap Parti Tindakan Demokratik (DAP), khususnya dalam konteks kerjasama dan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.
Justeru, Zaidi berkata dia meletakkan jawatan bagi mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas “kekhilafan” tersebut.
Dalam bahagian lain surat berkenaan, Zaidi berkata dia secara peribadi amat menghormati Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/7f11fdc6934a1ea693590f69039da592.jpg)
“Sepanjang pemerhatian dan pengalaman saya, beliau merupakan seorang pemimpin yang sentiasa memberikan perhatian kepada kebajikan rakyat, mengutamakan sikap toleransi, berbudi bahasa serta melaksanakan amanah pentadbiran negeri dengan penuh tanggungjawab.
“Sebagai rakyat Pulau Pinang, saya berbangga dan menghargai segala usaha beliau dalam memimpin negeri ini,” katanya.
Dia turut menghargai hubungan dan kerjasamanya dengan H’ng, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim serta Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari, yang menurutnya banyak memudahkan urusan rakyat.
“Berdasarkan pengalaman saya berurusan dan bekerjasama dengan mereka, saya mendapati mereka merupakan pemimpin yang mempunyai komitmen, visi serta rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap rakyat,” katanya.
H’ng, yang memaklumkan peletakan jawatan Zaidi menerusi Facebook hari ini, berkata kandungan surat itu membuktikan kerajaan negeri pimpinan DAP berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira kaum atau agama.
/file/attachments/orphans/image46_890380.jpeg)
