Anwar salahkan Najib, Hadi kerana dulu alu-alukan Rohingya
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyalahkan bekas perdana menteri, Najib Razak dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang kerana sebelum ini mengalu-alukan pelarian Rohingya, namun kerajaan pimpinannya kini terpaksa menanggung bebannya.
Kenyataan Anwar itu dibuat ketika sentimen anti-pendatang semakin meningkat di media sosial, khususnya terhadap komuniti Rohingya, dengan netizen membangkitkan kebimbangan mengenai kehadiran mereka, dakwaan salah laku serta impak terhadap mata pencarian penduduk tempatan.
"Kita lihat sejarahnya. Dulu ada perhimpunan besar diketuai Datuk Seri Najib dan Tan Sri Hadi untuk mengalu-alukan kehadiran mereka. Sekarang ternyata mereka jadi beban.
"(Mereka) disambut, ada perhimpunan besar. Saya harap social media boleh mainkan balik. Ucapan oleh pemimpin masa itu dan PAS.
"Yang kena marah saya, yang bawa orang lain. Ini apa cerita? Orang Kedah kata ‘kes naya’," katanya dalam satu temu bual bersama podcaster Iskandar Ibrahim menerusi episod khas “Sembang Ohh Yeahh” yang disiarkan hari ini.
Anwar merujuk kepada “Perhimpunan Solidariti Rohingya” yang diadakan di Kuala Lumpur pada Disember 2016, yang turut dihadiri Najib dan Hadi.
Bagaimanapun, Anwar mengakui keresahan orang ramai terhadap etnik Rohingya semakin memuncak, dengan mengakui sesetengah pelarian itu melanggar undang-undang, menceroboh kawasan kampung, mengadakan perhimpunan secara haram serta mengambil alih perniagaan tempatan.
"Saya tahu ramai rakyat tak mahu dengar ini. Mereka letih dengan terpaksa berhadapan dengan masyarakat Rohingya. Kalau mereka salah dari segi undang-undang, kita tangkap.
"Saya dah beri arahan sewaktu mereka berhimpun di UNHCR, saya minta polis ambil tindakan segera, jangan tangguh. Itu kita boleh tegas. Tapi Malaysia ini kita kena jaga imej sebagai negara yang ada kemanusiaan. Tangkap boleh, tapi jangan pukul, sergah, jangan hina orang,” tegasnya.
Polis pada Rabu lalu mengingatkan individu termasuk pempengaruh supaya tidak mengambil tindakan sendiri berhubung isu Rohingya kerana dibimbangi mencetuskan provokasi yang boleh menjejaskan keamanan negara.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Noor Hisam Nordin berkata, sebaliknya maklumat seperti lokasi mereka perlu disalurkan kepada pihak polis untuk tindakan mengikut undang-undang.
‘Jemput pemimpin Myanmar secara rasmi’
Dalam pada itu Anwar berkata dia baru-baru ini memaklumkan kepada Kabinet dan Kementerian Dalam Negeri mengenai hasratnya untuk menjemput pemimpin Myanmar Min Aung Hlaing melakukan lawatan rasmi ke Malaysia.
Katanya, jemputan itu bertujuan memajukan rundingan supaya Myanmar menerima semula pelarian Rohingya secara berperingkat.
"Saya undang dan saya nak bagitahu, kita boleh bersahabat, kita boleh berdagang, kita boleh terima Myanmar, tetapi Myanmar mesti terima (pelarian). Kalau tak boleh 200,000 sekaligus, ambil berperingkat. Dan kita akan bantu,” katanya.
Anwar berkata ketika pertemuan dengan Min Aung Hlaing di Bangkok, dia menggesa supaya pembunuhan dan serangan udara di Rakhine dihentikan susulan gempa bumi di Myanmar.
Sebagai balasan kepada bantuan kemanusiaan termasuk hospital medan Malaysia dan dana bantuan, Anwar berkata Myanmar bersetuju menghentikan serangan di kawasan terjejas dan membenarkan penduduk mendapatkan rawatan di kemudahan perubatan.
Dia berkata mereka bertemu sekali lagi di Beijing kira-kira 18 bulan lalu, ketika dia membangkitkan kemungkinan Malaysia menghantar Menteri Luar ke Myanmar serta mengulangi gesaan supaya negara itu menerima semula Rohingya.
Anwar mempertahankan hubungannya dengan Myanmar walaupun Asean mengenakan sekatan terhadap kerajaan junta, dengan alasan rundingan diperlukan bagi menyelesaikan krisis pelarian.
"Itu bagi saya diplomasi yang lebih handal. Ini duk jerit marah Myanmar, siapa nak ambik dia (pelarian), nak hantar ke mana? Dia tak ada warganegara Myanmar.
"Dia (Myanmar) kata ‘they (Rohingya) are not our citizens’. Jadi sebab itu kita kena runding,” katanya.
Myanmar bersetuju terima 5,000 pelarian
Susulan itu, Anwar sekali lagi menyatakan bahawa Myanmar setakat ini bersetuju menerima 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia, dengan 1,500 daripada mereka akan dihantar pulang dalam tempoh satu atau dua minggu akan datang.
"Jadi penyelesaian saya, runding dengan pemerintah Myanmar untuk dapatkan kebenaran mereka terima pulang
"Alhamdulillah sekarang ini mereka setuju 5,000, 1,500 akan dibawa dalam seminggu-dua ini,” katanya.
Menurut Anwar, Myanmar akan menghantar sebuah kapal, manakala Malaysia akan menanggung kos makanan, pakaian dan pengangkutan pelarian berkenaan.
Dia berkata langkah itu lebih praktikal dan kurang kos berbanding menempatkan mereka untuk tempoh yang tidak ditentukan di depot tahanan imigresen.
"Bila kita baik dengan dia kita ada ruang untuk push sikit...(tanya Myanmar) minta jaminan keselamatan dan lain-lain. Lebih baik kita bayar sedikit dari beban bagi makan ratus ribu orang di depot.
"Orang cadang tangkap. Okay tangkap tapi tinggal di mana? Tinggal di depoh, siapa bagi makan? Kita,” katanya.
Anwar berkata Myanmar sejak sekian lama enggan mengiktiraf Rohingya sebagai warganegara, sekali gus menyukarkan proses penghantaran pulang.
Perdana Menteri itu menegaskan bahawa sebarang penghantaran pulang perlu disertai jaminan keselamatan bagi mengelakkan mereka yang kembali berdepan keganasan sekali lagi.
"Rundingan kita bukan runding hantar bawa balik saja tapi dengan jaminan keselamatan, kawasan Rakhine orang Islam supaya tidak diganggu,” katanya.
Dia berkata pendekatan Malaysia adalah untuk melayani pelarian secara berperikemanusiaan sambil berusaha menghantar mereka pulang dengan selamat.
"Ini pemerintah baru. Kita layan, beri makan, beri pakaian, tapi pulang. Ini bukan negeri kamu, ini negeri Malaysia, biar orang Malaysia tentukan," katanya.
/file/attachments/366/b1ebedb5348c97085d1afdb19363aff5_511656_776595_479324.jpg)
