Ketegangan tercetus antara penduduk Orang Asli dengan pegawai penguat kuasa ketika operasi di Hutan Simpan Tasek Bera, Pahang, manakala video yang menunjukkan anggota Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menyepak bekas pembakaran kemenyan tradisional di atas tanah turut mengundang kritikan.

Ketua Polis Daerah Bera Zulkiflee Nazir berkata lima Orang Asli ditahan kerana didakwa menghalang pegawai penguat kuasa dalam operasi pagi semalam yang menyasarkan tanaman kelapa sawit dan getah.

Operasi yang dijalankan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 itu membabitkan UPNP, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Pasukan Gerakan Am serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurut Zulkiflee, sekumpulan individu mendirikan halangan dan didakwa melakukan provokasi terhadap pegawai yang sedang menjalankan tugas. Hantaran di media sosial mengenal pasti lokasi berkenaan sebagai perkampungan Orang Asli Kampung Pathir.

“Susulan itu, polis menahan seorang lelaki dan empat wanita berumur lingkungan 30 hingga 60-an bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

Video konfrontasi itu kemudian tersebar di media sosial.

Pada satu video, seorang anggota polis beruniform kedengaran berkata: “Boleh kena tangkap ini (buat halangan).”

Dia turut dilihat mengarahkan supaya bekas kemenyan yang sedang dibakar dialihkan sebelum seorang pegawai UPNP menyepaknya ke tepi jalan, walaupun Orang Asli meminta supaya dia tidak berbuat demikian.

Pada latar belakang video tular itu, kedengaran suara berkata: “Kau berani kau langkah kemenyan. Ha, bagus sepak (bekas kemenyan itu), bagus (teruskan sepak), esok kau mati.”

Beberapa hantaran menyifatkan mereka yang ditahan sebagai penduduk yang mempertahankan tanah adat.

Bagaimanapun, Zulkiflee mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak disahkan atau palsu yang boleh menimbulkan salah faham dan mengganggu ketenteraman awam.

Penahanan itu berlaku ketika operasi bersepadu selama sebulan yang bermula Isnin lalu bagi menyasarkan kawasan yang diklasifikasikan pihak berkuasa sebagai pencerobohan haram ke dalam hutan simpan berkenaan.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Mustakim Semail berkata operasi itu membabitkan lebih 70 anggota yang dibahagikan kepada tiga pasukan.

Tapak Ramsar

Katanya, pihak berkuasa menyasarkan tanah hutan simpan yang ditanam dengan kelapa sawit dan getah, termasuk kebun lama yang sudah mengeluarkan hasil.

“Operasi semalam turut menggunakan dron oleh UPNP bagi menentukan lokasi kawasan ceroboh yang terletak di beberapa kawasan Tasek Bera.

“Tinjauan mendapati terdapat kawasan yang sudah lama diusahakan dan ada juga kawasan baharu diteroka menerusi kaedah pembakaran hutan,” katanya seperti dipetik ImedikelTV.

Mustakim berkata pegawai terpaksa memotong penghadang besi yang dipasang bagi menghalang akses ke salah satu kawasan tanaman itu.

Bagaimanapun, penduduk Orang Asli dan penyokong mereka menegaskan kawasan yang terjejas merupakan sebahagian wilayah adat masyarakat Semelai serta sedang dipetakan untuk diambil alih tanpa persetujuan mereka.

Tasek Bera, tapak tanah lembap Ramsar pertama di Malaysia, diiktiraf sebagai tanah lembap berkepentingan antarabangsa pada 1994 dan turut diwartakan sebagai hutan simpan kekal.

Tasik dan hutan di sekitarnya secara tradisi mempunyai kaitan dengan masyarakat Semelai yang telah menetap di kawasan tadahan Bera sejak turun-temurun serta bergantung pada kawasan itu untuk bercucuk tanam, menangkap ikan dan mendapatkan hasil hutan.

[Baca berita asal]