Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers
Nik Aziz tidak patut serang peribadi Syed Husin Ali

Saya tertarik dengan kenyataan Pesuruhanjaya PAS Kelantan, Nik Aziz Nik Mat 'PAS bantah cadangan Keadilan letak calon berfahaman sosialis' yang disiarkan di dalam Utusan Malaysia semalam.

Sebenarnya, kenyataan ini tidak sepatutnya keluar dari mulut seseorang pimpinan yang digelar ulamak dan nampaknya beliau terang-terang menyerang peribadi seseorang. Apakah salah jika Dr Syed Husin Ali bertanding di Parlimen Kota Bharu, berbanding dengan Ahli Parlimen yang lepas, Ustaz Ramli Ibrahim, yang berlabelkan Ustaz tetapi satu kerja pun dia tidak buat dan jarang sekali kelihatan di Kota Bharu. Adakah pemimpin macam ini yang Nik Aziz kehendaki?

Walaupun saya bukan daripada mana-mana parti pemerintah ataupun parti pembangkang, tetapi dengan meletakkan calon seperti Dr Syed Husin di Parlimen Kota Bharu, beliau berpeluang berkhidmat di Parlimen supaya dapat membongkar penyalahgunaan kuasa, wang dan politik Barisan Nasional (BN).

Inilah salah satu pemikiran yang kolot berbau "perkauman fikiran" yang terdapat pada Nik Aziz sedangkan beliau sepatutnya membimbing ke arah yang lebih sempurna dan Islamik, bukannya menuduh sesuka hati dan melabelkan seseorang itu sosialis atau sebagainya.

Tidak dinafikan bahawa pemikiran Nik Aziz ini sama seperti fikiran orang di dalam BN. Memang secara ikhlas saya berasa sedih sekali dengan kenyataan yang sebegitu rupa yang nyata keluar daripada seorang yang bergelar ulamak dari kalangan ahli PAS.

Sedih tidak dapat dibayangkan oleh saya dengan kenyataan sedemikian, malahan ia boleh memecahbelahkan perjuangan Barisan Alternatif (BA) umumnya.

Dengan harapan yang penuh dengan ikhlas, saya harap para penyokong BA mengkaji semula kenyataan Nik Aziz itu dan juga ahli-ahli PAS juga patut mengkaji kenyataan tersebut untuk kebaikan rakyat jelata.

Di sinilah nampak lemahnya pentadbiran Islam Nik Aziz di mana beliau takut untuk berdepan dengan sosialis. Ini menampakkan Islamnya begitu lemah sekali untuk berdepan dengan cabaran yang melanda.

ADS