Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh petugas parti dari semua peringkat yang turut sama memeriahkan penamaan calon N91 PRK Rompin hari ini.

Kehadiran Naib Presiden PKR YB Nurul Izzah Anwar berserta pimpinan PKR Pusat dan negeri dan YB Tengku Zulpuri Pengerusi DAP Pahang mencerminkan kerjasama yang kukuh antara semua komponen parti Pakatan Rakyat di Pahang.

Kita mesti memastikan keadaan yang sama akan dapat dijelmakan di Permatang Pauh.

Kesepaduan kita di Rompin dan Permatang Pauh amat menggerunkan Umno-BN.

Ini langkah yang betul ke arah kemenangan kita menghentikan penindasan BN terhadap rakyat serta kezaliman mereka.

Kita yakin dengan kerjasama sebagaimana yang ditunjukkan hari ini kita berada di dalam jalan ke arah memperoleh kejayaan.

Oleh itu, ketepikanlah perbezaan yang kecil antara kita.

Utamakanlah perjuangan bersama kita yang jauh lebih besar demi dan untuk masa depan rakyat Malaysia.

Kita mesti menjelmakan sokongan padu dan kebersamaan Pakatan Rakyat bagi menghadapi kemungkaran yang lebih besar iaitu menghadapi kezaliman Umno-BN.

Rakyat perlu diselamatkan daripada kerakusan, kezaliman dan keborosan pemimpin negara hari ini.

Lihatlah bagaimana cadangan membina hospital di Perlis dibatalkan tapi pada masa yang sama, GST dan pembelian jet diluluskan.

Ada yang berkata PAS akan menggunakan GST untuk meraih undi, apakah mereka tidak berfikir bahawa BN sedang menggunakan GST untuk meraih wang rakyat dengan sewenang-wenangnya?

Kalau tidak percaya, bacalah keluhan ahli Parlimen Sepanggar dari BN yang mengundi untuk GST dilaksanakan.

Kepada semua petugas dari luar, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas pengorbanan semua kita semoga Allah membalasnya sebagai mujahadah kita kerana Allah.

Bagi PKR, selamat berjaya mengekalkan kerusi di Permatang Pauh.

Undi PAS di Rompin dan PKR di Permatang Pauh, Tolak GST, Tolak Umno-BN!


DATUK TUAN IBRHAIM TUAN MAN pengerusi jawatankuasa induk PAS dalam pilihan raya kecil Rompin.

Lihat Komen
ADS