PRN MELAKA | Pemimpin utama parti politik berkumpul di Melaka hari ini sempena penamaan calon menandakan bermulanya kempen secara rasmi sebelum penentuan dibuat pada 14 Nov nanti.

Setiap gabungan politik yang bersaing mengerahkan menteri kabinet, pemimpin kanan dan penyokong masing-masing untuk berkumpul dan memberikan sokongan.

Persembahan tarian singa, kibaran bendera serta laungan “Reformasi” dan “Hidup Islam” memeriahkan suasana seawal jam 7 pagi apabila penyokong mula berkumpul di 28 pusat penamaan calon di seluruh negeri.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, mengetuai rombongan yang mengiringi ketua menteri sementara Melaka, Ab Rauf Yusoh, untuk mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara.

Ab Rauf – yang menang dengan majoriti setipis 364 undi pada 2021 – berdepan calon PH, Mohd Yunazri Mustamiri, yang diiringi Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang.

Presiden MCA Wee Ka Siong pula menyertai ratusan penyokong untuk mengiringi bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Lim Ban Hong di Klebang.

Di Duyong, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengiringi penyandang kerusi itu, Mohd Noor Helmy Abdul Halem, yang lebih dikenali ramai sebagai “YB Duyong”.

Antara yang hadir ialah dua individu yang dikenali penduduk setempat sebagai “Uncle Wong” dan “Dak Nor”.

Mohd Noor Helmy – yang merampas kerusi itu daripada DAP pada 2021 dengan majoriti 200 undi – akan berdepan calon Poo Long Suan selaku calon wakil PH.

Turut turun padang ialah Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon bersama penyandang Machap Jaya, Ngwe Hee Sem, serta naib presiden parti itu, Wee Jeck Seng, yang menyokong calon Bandar Hilir, Jasmine Lok.

Sementara itu PH turut menggerakkan beberapa menteri kabinet dan pemimpin kanannya untuk mengiringi calon di kawasan tumpuan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengetuai rombongan mengiringi bekas Adun Machap Jaya, Ginie Lim Siew Lin.

Ginie Lim diiringi oleh pemimpin kanan PH termasuk Saifuddin Nasution yang kini menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden PKR.

Turut serta ialah Menteri Sumber Manusia, R Ramanan, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Maszlee Malik.

Lim, yang memenangi Machap Jaya pada 2018 tetapi tidak mempertahankannya pada 2021, kini cuba merampas semula kerusi itu daripada Ngwe.

Di Paya Rumput, Menteri Besar Selangor merangkap Pengarah Pilihan Raya PH, Amirudin Shari, mengiringi Azman Abidin yang meripakan setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketua Wanita DAP merangkap Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching pula hadir bersama calon Bandar Hilir, Leng Chau Yen.

Menurut Bernama, pusat penamaan calon di SMK Padang Temu bertukar menjadi lautan warna biru, merah dan kuning apabila penyokong parti memenuhi laluan masuk ke situ.

Lebih 687,000 pemilih layak

Di Bemban, Presiden Wawasan Hamzah Zainudin dan ketua penerangannya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyertai pemimpin PN bagi mengiringi penyandang kerusi itu, Dr Mohd Fadzil Yaakub.

Di Gadek pula, Presiden Putra, Ibrahim Ali, mengetuai para penyokong bagi calon tunggal parti itu, Laila Norinda Maon.

Pertandingan lima penjuru bakal berlaku dengan calon BN, PH, Bersatu, Bersama, dan Putra bersaing merebut kerusi yang sebelum ini disandang oleh Shanmugam Ptcyhay daripada MIC yang dimenanginya pada 2021.

Di sebalik persaingan sengit, pemimpin gabungan yang bertembung dalam pilihan raya turut dilihat bertegur sapa di pusat penamaan calon Bukit Katil.

FMT melaporkan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim bersalaman bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu dan calon PH bagi Bukit Katil, Adly Zahari.

Adly merupakan bekas Ketua Menteri Melaka dan kini berkhidmat sebagai timbalan menteri pertahanan.

Pertemuan itu berlaku ketika penyokong PH melaungkan “Reformasi”, manakala penyokong PN membalas dengan “Hidup Islam”.

Selain di Gadek, Bersama turut menyertai persaingan menerusi B Prasanth Kumar di Machap Jaya dan Dr Mohd Nor Rashidi Ab Jalil di Bandar Hilir.

Kesemua 28 pusat penamaan calon dibuka pada jam 9 pagi, dengan bakal calon diberikan tempoh sejam untuk menyerahkan borang pencalonan.

Pengumuman calon yang layak bertanding menandakan bermulanya kempen selama 14 hari sehingga jam 11.59 malam, 13 Nov, sebelum pengundian pada 14 Nov. Pengundian awal pula ditetapkan pada 10 Nov.

Seramai 687,697 pengundi layak mengundi susulan pembubaran DUN Melaka pada 23 Sept.

BN berusaha mempertahankan penguasaan 21 daripada 28 kerusi yang dimenanginya pada 2021, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Bersatu dua kerusi.