PH cuba resipi tanpa poster boy di Melaka, tetap yakin penilaian rakyat
WAWANCARA | Detik penentuan masa depan Melaka bermula secara rasmi hari ini apabila pusat-pusat penamaan calon dibuka, calon-calon mengemukakan borang masing-masing sebelum SPR mengesahkannya.
Kali ini PH mengambil pendekatan untuk tidak mengetengahkan 'panglima' untuk diangkat sebagai poster boy.
Langkah itu dilihat berbeza berbanding apa yang dilakukan oleh parti gabungan tersebut semasa PRN Johor dan Negeri Sembilan yang lebih awal dilangsungkan.
Menyelami strategi itu, Malaysiakini menemui Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, untuk mendapatkan pencerahan.
Kata Adly, PH Melaka tidak membincangkan isu poster boy kerana memilih untuk memberi keutamaan kepada semua kerusi DUN yang mereka tandingi – yang berjumlah 24 daripada.
Secara keseluruhan DUN Melaka ada 28 kerusi.
“PH melaka tak bincangkan mengenai poster boy kerana bagi kami, apabila dilihat (kesan) di Johor dan di Negeri Sembilan, fokus utama di Melaka ialah setiap DUN ataupun calon yang bertanding itu mesti sedaya-upaya menang di kerusi mereka.
“Tak guna kalau kita ada poster boy dan poster boy kita tak menang.
“Lebih baik kita tumpukan supaya semua orang ada kemampuan masing-masing, dan kami ada juga calon-calon dalam kalangan Gen Z yang digabungkan dengan calon-calon yang banyak pengalaman," katanya dalam temu bual bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur, semalam.
Pada 24 Okt lalu PH mengumumkan 21 daripada 28 kerusi DUN yang ditandingi mereka dalam PRN pada 14 Nov ini. Gabungan itu kemudiannya mengumumkan tambahan tiga lagi calon menjadikan keseluruhan 24 calon.
Selesaikan isu sempadan
Adly yang akan mempertahankan kerusi dimenanginya sebelum ini – Bukit Katil – berkata PH menampilkan calon dari pelbagai latar belakang termasuk Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin, yang diberi kepercayaan di DUN Paya Rumput.
Azman yang juga Ketua PKR Bandar Tun Razak akan berdepan calon PAS, Rafie Ahmad, yang mewakili kerjasama PN dan BN.
Kata Adly PH Melaka juga menawarkan calon yang pernah memimpin sama ada di peringkat negeri atau persekutuan yang diketengahkan bersama calon baru serta golongan belia.
"Kerana kadang-kadang orang selalu sebut tentang keinginan membuat perubahan politik, maka PH perkenalkanlah orang muda," katanya.
Adly sendiri bukanlah asing dalam politik peringkat negeri atau pusat. Sebelum ini dia pernah menjadi Ketua Menteri Melaka hasil PRU ke-4 pada 2018..
Dia sempat mengetuai pentadbiran kerajaan negeri selama 22 bulan sebelum berlaku Langkah Sheraton di Kuala Lumpur yang kesan berantainya turut mengubah landskap politik Melaka.
Pun begitu semasa PRU ke-15 Adly bertanding di kerusi parlimen Alor Gajah. Kemenangan digapainya membawa anak kelahiran Durian Tunggal pada 55 tahun lalu itu ke kementerian pertahanan.
Dia yang juga Naib Presiden Amanah dilantik sebagai timbalan menteri pertahanan.
/file/attachments/orphans/adlyzahari13_170586.jpg)
Kata Adly dia yakin rakyat Melaka dapat menilai pembaharuan dan 'air tangan' kerajaan PH sebelum ini walaupun gagal bertahan selama sepenggal penuh.
Mengulas lanjut dia berkata tumpuannya terhadap keperluan perumahan rakyat, penyelesaian projek terbengkalai, selain lebih 55 inisiatif dilaksanakan dalam tempoh itu patut diberi perhatian oleh rakyat Melaka.
Adly juga memberikan contoh bagaimana pihaknya menyelesaikan isu persempadanan laut antara Melaka dan Negeri Sembilan di Kuala Linggi yang terbiar sejak sekian lama sekali gus membolehkan pembangunan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi diteruskan.
"Sebenarnya isu sempadan laut ini adalah isu yang paling sukar dalam negara kita, tak ada negeri yang selesai dalam Malaysia ni kecuali di Kuala Linggi antara Melaka dan Negeri Sembilan.
“Itu dapat kita selesaikan dalam tempoh 22 bulan.
"Hari ini kita boleh melihat itu dapat dilaksanakan. Begitulah juga kalau kita lihat antara yang kerajaan PH luluskan dan hari ini dilaksanakan ialah Empangan Sungai Jenih.
"Empangan ini sebenarnya di kala PH mengambil alih kerajaan negeri, ia telah ditamatkan kelulusan, tetapi kita mulakan balik, kita luluskan empangan kerana kita tahu di kawasan Masjid Tanah itu harus ada pembangunan empangan kerana kawasan itu makin berkembang,” katanya.
Akui keberkesanan, jalankan kerja, tapi...
Tambah Adly, air bukan saja merupakan keperluan malah asas ekonomi yang penting.
Malah, katanya, jika pelabuhan dibina air juga boleh menjalan pendapatan apabila ia dijual kepada kapal-kapal dagang dan harganya jauh lebih tinggi.
Sementara itu ditanya sejauh mana PH melihat kemaraan gelombang yang dibawa BN dan PN selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan, Adly menyifatkan cabaran paling kuat terletak pada siapa yang mampu menyusun jentera bagi membolehkan pengundi putih keluar seramai mungkin.
"Saya fikir rakyat di Melaka memang (sudah) ada sokongan masing-masing tapi ada beberapa faktor saya fikir (boleh mengubah keputusan).
“Peratusan keluar mengundi adalah antara faktor dan PH terkesan semasa PRN 2021 kerana kita tahu (peratusan) pengundi tegar tak keluar (adalah tinggi).
"Ada sebahagian tempat tu hanya sekadar kira-kira 40 ke 45 peratus saja. Maka PH Melaka berharap dengan suasana yang ada pada hari ini mungkin boleh membantu (meningkatkan) peratus keluar mengundi.
Kedua, kata Adly lagi, faktor jentera parti yang berkesan, malah dia mengakui aspek itu banyak ditekankan kali ini.
Dia yang pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Melaka sebelum parti itu mengalami krisis dalaman yang sampai kemuncaknya pada 2015 berkata, PH turut berdepan dengan cabaran menjelaskan kepada orang ramai isu terkait orang Melayu dan Islam yang kononnya terancam.
Menurutnya, isu itu sering ditiupkan termasuk di Johor dan Negeri Sembilan.
/file/attachments/orphans/asdasdasasdasd_912005.png)
Di Negeri Sembilan, katanya, sebahagian besar rakyat di situ mengakui Aminuddin Harun menjalankan tugas sebagai menteri besar dengan baik serta berkesan.
"Tetapi oleh kerana sentimen itu ataupun isu yang kita sebut sebagai politik identiti menguasai lebih banyak berbanding prestasi, akhirnya PH gagal kembali menjadi kerajaan di Negeri Sembilan,” katanya.
Dalam keadaan itu, tambah Adly, pengalaman di Johor dan Negeri Sembilan mengajar PH bahawa kegetiran yang dihadapi adalah disebabkan politik identiti yang dibawa pihak lawan.
Namun ia bukanlah berita buruk sepenuhnya.
PH Melaka berpendapat orang ramai sudah melihat bahawa politik identiti itu tidak menjamin keadaan berubah menjadi lebih baik. Misalnya di Negeri Sembilan selepas PRN berakhir.
Perkembangan semasa – yang sehingga kini belum berakhir – dipercayai dapat membuka mata pengundi Melaka.
"Contohnya aspek kestabilan politik. Kita boleh ihat bahawa walaupun PH tidak lagi memimpin Negeri Sembilan kerajaan sekarang tetap gagal membina kestabilan politik.
“Apakah orang masih nak salahkan PH, khususnya DAP (sedangkan PH bukan lagi kerajaan)?” katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/adlyzahari11adssd_976435.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.