Menjelang tahun kelima kehilangan penyampai berita terkenal, Zalina Azman, sahabat baiknya Ras Adiba Radzi menegaskan dia tidak pernah putus harapan dan tetap mendoakan agar personaliti televisyen itu kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.

Harapan itu dinyatakannya ketika dihubungi Malaysiakini kelmarin.

Baru-baru ini isu kehilangan Zalina kembali diperkatakan orang ramai selepas tular insiden pencerobohan kediaman peribadi personaliti terbabit dipercayai untuk membolehkan seorang pempengaruh membuat kandungan medium media sosialnya.

"Doa saya agar dapat memujuk hati supaya Zalina dapat pulang.

“Sekiranya dia di lautan, saya pohon dia naik perahu dan timbul (muncul semula).

“Sekiranya dia di dalam hutan, saya doakan agar dia dapat meredah onak dan duri untuk keluar supaya beliau kembali ke pangkuan kita – bukan sahaja masyarakat bahkan terutamanya keluarga beliau," katanya.

Sementara itu mengulas insiden pencerobohan berkenaan, Ras Adiba meluahkan rasa kesal dan tidak senang kerana ia tentu mengguris perasaan ahli keluarga yang masih bersedih.

Bahkan, kata Ras Adiba, dia yang bukan sebahagian daripada ahli keluarga Zalina sendiri – namun rapat dengan personaliti itu – berasa terganggu dengan kejadian berkenaan.

Katanya tidak wajar sama sekali kediaman itu diceroboh walaupun ia ditinggalkan tidak berkunci.

“Kita semua ada adab,” katanya lagi.

Mesti sensitif, bertanggungjawab

Berdasarkan laporan Sinar Harian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal memanggil pencipta kandungan terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tindakannya melepasi kawasan kediaman Zalina serta memuat naik rakaman berkaitan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Sarudin Samah, berkata pihaknya sedang meneliti perkara tersebut terlebih dahulu sebelum menentukan sebarang tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Zalina Azman atau nama sebenarnya Zalina Shaharah Azman, dilaporkan hilang selepas anak lelakinya, Mikhael Norman, gagal menghubungi dia sejak 24 Nov 2021.

Ketika itu Mikhael menghubungi Zalina bagi memaklumkan bapa pembaca berita itu dimasukkan ke hospital. 

Laporan polis tentang kehilangan Zalina dibuat pada lima hari kemudian

Siasatan mendapati kali terakhir telefon bimbit Zalina aktif ialah pada 20 Nov. Tidak dapat dipastikan sama ada peranti itu termati sendiri, dimatikan atau sebab lain.

Ketika Mikhael berkunjung ke rumah Zalina kemudian, didapati kereta Zalina masih berada di situ, selain beg tangan yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kunci kereta dan wang tunai RM600.

Keberadaan Zalina menjadi tanda tanya sejak itu.

Menurut Ras Adiba, kejadian pencerobohan rumah Zalina itu juga menghantar peringatan penting kepada masyarakat tentang garis yang membezakan kewartawanan profesional yang dipandu oleh etika berbanding pencipta kandungan bebas.

“Kita sebagai wartawan siaran, penulis, ada bezanya. Kita old school tentang hal ini dan terikat dengan garis panduan serta penelitian editor atau penerbit,” katanya.

Bagi pencipta kandungan bebas, tambah personaliti yang sebelum ini turut terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan, mereka tidak dipantau oleh sebarang kekangan.

Notis dikeluarkan polis terkait kehilangan Zalina.

Pun begitu menurut Ras Adiba, semua orang mesti sensitif dan bertanggungjawab atas setiap kandungan kita dihasilkan.

Mengimbau kenangan lalu, Ras Adiba menyifatkan Zalina bukan sekadar rakan sekerja ketika sama-sama bertugas di Jalan Liku, Bangsar tetapi juga sahabat rapat di luar pejabat.

Katanya, Zalina yang mengendalikan rancangan Money Matters merupakan seorang personaliti sangat aktif dan mahir dalam laporan perniagaan.

Dari segi penulisan pun, tambah Ras Adiba, Zalina lebih cenderung ke arah bahasa Inggeris.

"Sudah tentu ada rindu. Kenangan kami terlalu banyak di bilik berita, kalau nak cerita memang kena buka buku,” katanya.

Ras Adiba juga turut menasihati pencipta kandungan agar tidak terlalu ghairah mendapatkan pengikut di saluran media sosial masing-masing dengan mencipta bahan sensasi.

"Kita doakan yang terbaik supaya Zalina dijumpai, dan jangan kerana kita begitu ghairah untuk mendapatkan followers sehingga beliau nanti berkecil hati ataupun segan untuk kembali,” katanya.