Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kalau banyak pihak menyokong Mawi, maka memang patut dia menang. Dan sokongan untuknya bukan datangnya dari calang-calang orangnya bermula dari ahli akademik di universiti, seterusnya pemuda masjid, orang surau sehinggakan kepada pemimpin politik di Johor pun, semuanya seakan-akan berlumba memberikan sokongan padu melalui media perdana.

Banyak pro dan kontranya. Sampai bila-bila pun tidak habis kita membahasnya. Persoalan seperti adakah bakat atau imej yang lebih penting? Adakah faktor agama memainkan peranan penting dalam menaikkan populariti seseorang?

Jika latar belakang agama menaikkan imej seseorang artis, kenapa latar belakang agama tidak menaikkan imej agamawan yang berpolitik kepartian? Kenapa mahasiswa yang ada latar belakang agama diwarnai imej negatif ketika terlibat dalam persatuan agama di universiti?

Demikian bacaan-bacaan polemik itu dan tiada siapa pun yang boleh menjawabnya. Sedangkan, badai gelombang ketiga Akademi Fantasia 3 yang menerpa minda masyarakat hari ini berakar dari sokongan moral 'politik' - 'masjid' - 'universiti'.

Ketiga-tiga institusi ini terpukau dengan fenomena 'tsumawi' yang terkait dengan citra agama, tetapi dalam masa yang sama tidak mengupas mengapa agama dalam bentuknya yang 'tulen', gagal meraih minat masyarakat secara keseluruhan? Adakah Islam Hadhari memerlukan pendekatan ini? Semoga ada pihak menjawabnya.

Ketika pulang ke universiti baru-baru ini, rakan saya seorang mahasiswa berkata, beliau memperuntukkan kira-kira RM200 untuk membeli kad prabayar sebelum tarikh pengundian bermula sebagai persediaan untuk memastikan calon kesukaannya dalam AF3 berjaya.

"Duit PTPTN dah masuk," katanya sambil mengisi ulang kad simnya. "Kita boleh undi. Amalan ini lebih 'demokrasi' daripada kita biarkan para juri sahaja yang menghakimi."

Kebanyakan mahasiswa memenuhi ruang cafeteria di universiti baru-baru ini. Sebab itu, tidak hairan, berdasarkan satu laporan, jumlah undian keseluruhan mencecah 14 juta. Mungkin sebab itulah, pelajar kini lebih memahami 'demokrasi' dalam wilayah hiburan dan bukan lagi dalam dimensi politik.

Ini tidak menghairankan. Sememangnya budaya ini cuba dikembangkan dalam institusi pendidikan tinggi dan sekaligus mematikan demokrasi dalam maknanya yang asli. Lalu, demokrasi yang hidup adalah dalam dimensi hiburan pula. Acuan didikan seperti ini akan lebih merbahaya menjelang 2020 nanti.

Islam Hadhari sudah tentulah memerlukan pendekatan bijaksana. Oleh kerana peminat AF3 ini ramai dari kalangan pelajar dan mahasiswa, maka sesuatu tindakan perlu dilakukan untuk menyeimbangkan antara mengisi 'keperluan stesen penyiaran' dan 'pendidikan'. Kita tidak mahu stesen penyiaran ini mengaut keuntungan yang terlalu banyak, sedangkan pelajar kita miskin dan membelanjakan hutang PTPTN (KWSP) ke arah landasan yang tidak betul.

Terdahulu, melalui AF2, stesen penyiaran itu memungut keuntungan daripada 20 juta undian. Sementara untuk Mawi saja ,sepanjang tempoh pengajiannya di situ, purata undian mencecah kira-kira RM6.3 juta-RM12.6 juta.

Oleh itu, berbalik kepada tanggungjawab sosial, dalam konteks AF dan lain-lain program realiti, fungsi kerajaan-stesen penyiaran amat penting dalam mempertalikan kebijaksanaan dan mempereratkan kerjasama demi membangunkan prasarana pendidikan negara.

Semua ini amat berguna untuk kaum pelajar masa depan. Sewajarnya, stesen penyiaran memperuntukkan separuh atau beberapa peratus daripada keuntungannya untuk menabung kepada PTPTN (KWSP) sebagai ihsan kepada pendidikan negara.

Atau, kerajaan juga wajar mempertimbangkan atau memperkenalkan satu dasar baru kepada setiap program realiti seperti Malaysian Idol, Akademi Fantasia dan lain-lain seperti mengenakan cukai untuk mengembalikan separuh atau suku daripada keuntungan ini untuk menampung wang PTPTN (KWSP) bagi meningkatkan taraf pendidikan di negara kita.

Ini kerana, pendidikan adalah juzuk yang paling penting dalam pembangunan negara. Kita yakin, pendirian rasmi kerajaan melalui Timbalan Perdana Menteri mengenai rancangan program realiti, bakal melahirkan satu tindakan susulan yang tepat pula.

ADS