Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan penjawat awam yang ditahan kerana disyaki membantu kemasukan seorang wanita warga asing secara haram di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah pegawai agensi itu sendiri.

Ketua Pengarah AKPS, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata penahanan tersebut berjaya dilakukan hasil keberanian seorang pegawai wanita AKPS yang menyedari tindak-tanduk mencurigakan pegawai atasannya sebelum membuat laporan polis.

"Penahanan itu dilakukan oleh anggota AKPS sendiri selepas seorang pegawai wanita menyedari pegawai atasannya melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan.

"Saya amat menghormatinya dan bercadang bertemu dia secara peribadi dalam masa terdekat untuk menyampaikan penghargaan.

"Hanya seorang individu diperlukan untuk mengubah apa yang berlaku di lapangan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Zoo Negara, hari ini.

Mengenai pegawai yang ditahan, dia berkata suspek kini dalam tahanan polis dan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom).

Gambar Hiasan - Kaunter Immigrsen di KLIA ketika dilawat oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim

Shuhaily berharap siasatan polis dapat mendedahkan sama ada terdapat rangkaian lebih besar yang terbabit.

"Kita berharap polis dapat membongkar rangkaian yang jauh lebih besar susulan penahanan ini.

"Saya bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam perkara ini.

"Tahanlah seramai mana yang perlu. Rakyat Malaysia sudah muak dengan kegiatan seperti ini," katanya.

Pegawai atasan lari dari kaunter, dakwa "VIP punya orang"

Seperti didedahkan Malaysiakini pada 20 Nov, polis menahan seorang pegawai kanan AKPS yang didakwa menyalahgunakan kuasa untuk melepaskan seorang wanita warga Vietnam melepasi kaunter imigresen tanpa pas perjalanan sah.

Ketua polis daerah KLIA, ACP M Ravi, ketika itu mengesahkan penahanan susulan laporan polis pada 1.18 pagi, 17 Nov, oleh seorang pegawai AKPS yang bertugas ketika kejadian.

Gambar Hiasan - Kaunter Immigrsen di KLIA ketika dilawat oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim

Suspek disiasat mengikut Seksyen 26B(d) Atipsom, manakala wanita terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara tanpa dokumen sah.

Berdasarkan salinan laporan polis yang dilihat Malaysiakini, kejadian berlaku kira-kira 11.20 malam pada 16 Nov di kaunter Apec/diplomatik, lorong khas untuk diplomat dan pemegang kad Apec.

Pengadu, yang bertugas di kaunter itu, mendakwa pegawai atasannya, seorang timbalan penolong pengarah, tiba bersama wanita tersebut sambil memegang pasportnya.

Walaupun diminta berulang kali menyerahkan pasport untuk pemeriksaan, pegawai itu didakwa enggan dengan alasan dokumen berkenaan sudah diluluskan oleh pejabat operasi dan wanita itu adalah "VIP punya orang".

Dia kemudian menyerahkan pasport berkenaan terus kepada wanita tersebut yang membenarkannya lalu tanpa semakan.

Pengadu kemudian mendapati daripada pegawai Kastam bahawa wanita itu telah ditahan di kawasan tuntutan bagasi.

Semakan lanjut menunjukkan pasportnya tiada cop kemasukan Malaysia dan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMS) tidak merekodkan sebarang pergerakan masuk.

Dalam laporannya, pegawai itu meminta siasatan berasingan oleh polis, unit integriti AKPS, Jabatan Imigresen dan SPRM.

Malaysiakini juga melaporkan sumber dalaman yang menyifatkan kes sebegini sebagai sindiket "one-man job", iaitu pegawai kanan memintas semakan kaunter sendiri supaya dapat membolot keseluruhan bayaran sindiket tanpa berkongsi dengan orang tengah atau pegawai bawahan.