PARLIMEN l Hassan Karim (PH - Pasir Gudang) mencadangkan agar kerajaan menjemput secara rasmi semua bekas perdana menteri ke majlis sambutan Hari Kemerdakaan yang diadakan pada tanggal 31 Ogos setiap tahun.

Walaupun tidak menyebut nama, dia turut merujuk dan menyarankan jemputan itu juga diajukan kepada bekas perdana menteri keenam Najib Razak yang kini menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.

Hassan Karim (PH - Pasir Gudang)

"Saya mencadangkan untuk sambutan Hari Kemerdekaan tahun-tahun akan datang, jemputlah secara rasmi bekas-bekas perdana menteri, termasuk perdana menteri yang keenam, ketujuh, yang masih hiduplah.

"Perdana menteri kelapan, kesembilan dan kalau ada perdana menteri dalam tahanan rumah pun tak ada masalah, jemput sekali minta kebenaran KDN untuk (dia) hadir," katanya.

Hassan berkata demikian ketika membahaskan peruntukan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Komunikasi peringkat jawatankuasa, di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Najib memperolehi pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada September lalu.

Pada 7 Nov lalu, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa kuasa pengampunan diraja di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati.

Najib Razak

Najib mula menjalani baki hukuman kes SRC International di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada 10 November lalu, susulan perintah Mahkamah Tinggi. Tahanan rumah itu dijadualkan sehingga 23 Ogos 2028.

Isu menjemput bekas perdana menteri ke sambutan Hari Kebangsaan dibangkitkan pada Ogos lalu apabila Dr Mahathir Mohamad muncul di kalangan pengunjung biasa.

Kerajaan melalui Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Abdul Salim Hamzah ketika itu menjelaskan sejak 2018 jemputan itu tidak dipanjangkan secara automatik kepada bekas perdana menteri.

Bagaimanapun jelasnya, kehadiran mana-mana bekas pemimpin tidak dihalang dan boleh diuruskan melalui permohonan selaras dengan tatacara serta pengurusan jemputan rasmi yang ditetapkan.

Mahathir Mohamad

Sementara itu Hassan berkata, amalan dan tradisi seperti itu dilaksanakan di negara lain, antaranya Amerika Syarikat.

"Kalau ada majlis negara, dijemput presiden-presiden yang lama itu. Rasanya tidak manislah kalau bekas perdana menteri datang ke (sambutan) Hari Kemerdekaan di Putrajaya, datang seorang diri," katanya lagi