PARLIMEN | Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh mendakwa isu premium tanah Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dipolitikkan kerana melibatkan sebuah pertubuhan masyarakat Cina dan dirinya sebagai menteri daripada DAP.

Ketika menggulung perbahasan, Yeoh sekali lagi mempertahankan penetapan premium tanah KLSCAH pada RM1,000 berbanding anggaran asal RM4.67 juta.

“Saya percaya dengan sepenuh hati saya, kalau kes ini Menteri Wilayah bukan saya daripada DAP, perkara ini tidak akan masuk dalam Kamar ini.”

“Saya yakin kerana sudah 10 bulan saya menjawat (jawatan ini),” katanya ketika menjawab perbahasan usul yang dibawa Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) di Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.

“Oleh sebab kes ini, KLSCAH pertubuhan China, menteri DAP yang mereka ingat saya yang luluskan.

“Jadi, banyak, banyak minat,” kata Yeoh yang membandingkan perhatian terhadap isu KLSCAH dengan sambutan yang jauh lebih dingin terhadap usahanya melindungi tanah bernilai, kawasan hijau dan kolam takungan banjir di Kuala Lumpur.

Yeoh berkata demikian ketika menjawab beberapa pertanyaan ahli Parlimen pembangkang mengenai dakwaan KLSCAH menerima layanan istimewa dan sama ada dia mempengaruhi keputusan itu.

Jawatankuasa dipengerusikan KSN

Yeoh berkata keputusan mengurangkan premium itu dibuat oleh Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara.

“Semua ini orang Melayu. Tak ada DAP China dalam Jawatankuasa Tanah ini yang meluluskan permohonan ini,” katanya merujuk pegawai kanan kerajaan yang menganggotai jawatankuasa itu.

Yeoh menjelaskan kenyataannya bertujuan menjawab sindiran dalam perbahasan hari ini mengenai dakwaan KLSCAH menerima layanan istimewa berbanding masjid.

Awang Hashim (PN-Pendang) membantah tindakan Yeoh membangkitkan soal kaum, sambil menegaskan penjawat awam perlu melaksanakan tanggungjawab dengan amanah tanpa mengira bangsa.

“Tapi proposal untuk nak ubah ini come from you. Itu punca dia,” dakwanya.

Ketika diasak Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) sama ada dia mempunyai kuasa mengubah kadar premium yang diputuskan jawatankuasa itu, Yeoh menjawab: “Saya tidak ada kuasa. Saya tak ada kuasa.”

Dia turut membangkitkan pendirian ahli Parlimen yang disifatkannya bercanggah, dengan merujuk syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) supaya Menteri Wilayah Persekutuan mempengerusikan Jawatankuasa Tanah.

“Jadi, bila kita ada split personality dalam Dewan Rakyat seperti ini, bagaimana agensi nak buat keputusan?” soalnya.

Tujuh kes terdahulu sebagai contoh

Yeoh turut menamakan tujuh pertubuhan yang menurutnya pernah menerima kelulusan premium tanah pada kadar nominal RM1,000 di Kuala Lumpur, bagi menolak dakwaan KLSCAH mendapat layanan istimewa.

Pertubuhan itu termasuk Yayasan Tuanku Bainun, Pertubuhan Bakti, Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Persatuan Keturunan Chan She Shu Yuen Kuala Lumpur dan Selangor, serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Tujuh kes jelas menunjukkan ini bukan perkara baharu. Kaedah 10 digunakan untuk KLSCAH. Tak ada keistimewaan khas untuk KLSCAH,” tegasnya.

Menurut Yeoh, KLSCAH pada mulanya memohon pelanjutan tempoh pajakan tanah sehingga 99 tahun pada September 2025 dan menerima anggaran premium RM4.67 juta.

Pertubuhan itu kemudian memohon pengurangan premium serta penukaran status tanah kepada pegangan kekal sebelum mengemukakan permohonan serah balik dan pemberimilikan semula tanah untuk kegunaan institusi, bukannya komersial.

Menurutnya, Jawatankuasa Tanah meluluskan permohonan baru itu pada September lalu dengan mengekalkan status pajakan sehingga 99 tahun.

Yeoh berkata premium RM1,000 ditetapkan berdasarkan Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1995, dengan mengambil kira sekatan penggunaan tanah serta status bangunan KLSCAH sebagai warisan kebangsaan sejak 2007.

“Jadi RM1,000 ini juga bukan datang dari langit,” katanya.

Dia turut menolak tanggapan KLSCAH mampu menampung kos penyelenggaraan bangunan melalui hasil sewaan dewan, sambil menjelaskan pendapatan sewaan hanya meliputi kurang 20 peratus daripada keseluruhan kos operasi dan penyelenggaraan.

Menurutnya, KLSCAH kali terakhir menerima geran kerajaan untuk kerja pemuliharaan pada 2007, walaupun terus mengemukakan permohonan selepas itu.

Perbahasan yang diselangi beberapa celahan turut menarik perhatian Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor yang mengulas tempoh luar biasa sesi Kamar Khas hari ini.

“2.30, 4.30, 5.30, tiga jam belum pernah berlaku seperti ini dalam Kamar Khas,” katanya sebelum menangguhkan persidangan sehingga esok.